Perutusan Khas Hari Kebangsaan 2021

- Advertisement -

SEJARAH perjuangan kemerdekaan telah memahat memori para pejuang negara, apabila mereka bangkit menentang penjajah yang bermula dengan kedatangan Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511.

Pejuang tanah air kita tidak pernah menyerah kalah dalam penentangan mereka terhadap penjajah, walaupun kedatangan penjajah bertukar ganti daripada Portugis, Belanda, dan British.

Seluruh lapisan rakyat di tanah air kita termasuklah Raja dan Sultan, para ulama’ serta seluruh pemimpin rakyat bangkit memperjuangkan kemerdekaan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Ramai dalam kalangan para pejuang yang terbunuh dan dipenjarakan, malahan ada yang dibuang negeri. Perjuangan kemerdekaan yang penuh perit jerih yang memakan masa ratusan tahun dan bersili ganti antara setiap generasi.

- Advertisement -

Penjajah yang datang ke tanah air kita bukan sahaja menakluk tanah air semata-mata, malah mereka juga memperhambakan rakyat tempatan, membawa balik hasil bumi ke negara mereka dan merosakkan pemikiran masyarakat.

Oleh itu, kemerdekaan mesti ditafsirkan dan difahami dengan makna yang lebih luas daripada kefahaman yang sekadar menyatakan kemederkaan dikecapi dengan keluarnya penjajah dari tanah jajahan.  

Kemerdekaan yang sebenar ialah kejayaan dalam membebaskan pemikiran kita daripada pengaruh ajaran dan budaya negatif yang ditinggalkan oleh para penjajah bagi merosakkan fikiran rakyat tanah air kita.

Islam membawa dua prinsip penting bagi mengisi kemerdekaan supaya kewujudan masyarakat majmuk di negara kita ini terus terpelihara iaitu prinsip tiada paksaan dalam beragama dan juga prinsip adil terhadap semua.

Dengan tema ‘Malaysia Prihatin’ yang dibawakan pada tahun ini, seluruh rakyat Malaysia harus bersama memastikan kemerdekaan yang telah kita kecapi sejak 64 tahun yang lalu terus terpelihara sebaiknya.

Marilah kita tunjukkan kepada semua bahawa kita mampu mengumpulkan seluruh kebaikan yang ada daripada semua bangsa yang hidup bersama dalam Malaysia yang kita cintai ini. Sekali gus kita sama-sama membina negara Malaysia yang maju, adil, dan sejahtera.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Muharram 1443 / 30 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -