KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya mengajak semua pihak termasuk ahli politik tanpa mengira parti bersama memainkan peranan membantu menjayakan usaha kerajaan.
Dato’ Seri Fadillah Yusof berkata, sekarang fokus kerajaan memastikan kestabilan politik, menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.
“Ia demi kelangsungan ekonomi dan kehidupan rakyat. Moga Allah SWT mempermudahkan segalanya dalam kami melaksanakan amanah dan tanggungjawab, demi rakyat dan negara,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Sehubungan itu beliau merakam ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di atas kepercayaan yang diberi.
Fadilah antara empat menteri mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kerajaan baharu. Beliau meneruskan tugas di Kementerian Kerjaya sebagaimana era kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau juga merupakan empat menteri kanan di bawah pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. Selain itu Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Seri Hishamuddin Hussien dan Dato’ Dr Md Radzi Jidin.
Menurut Fadilah juga peranan pihak media amat penting bagi membantu usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19.
“Semua pihak perlu berpadu tenaga dan menghentikan unsur-unsur negatif demi membebaskan negara daripada ancaman pandemik. InsyaAllah dengan berpadu tenaga, kita akan menang bersama,” ujarnya.
Dr Md Radzi yang juga Menteri Pendidikan turut merakam penghargaan kepada perdana menteri kerana terus memberi kepercayaan berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia.
Katanya amanah yang diberikan akan dijunjung setulus hati demi masa depan generasi pewaris negara.
“Hasrat perdana menteri untuk melihat setiap kementerian menjadi kementerian berprestasi tinggi akan diikhtiarkan sebaiknya,” kata beliau.
Beliau juga akan memberi penekanan tiga konsep utama di KPM, iaitu K-Kualiti, P-Produktiviti dan M-Modenisasi dalam usaha mengukuhkan KPM sebagai sebuah kementerian berprestasi tinggi. – HARAKAHDAILY 30/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!