Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Dato’ Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II komited berusaha menarik minat golongan muda terutama lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) menceburi bidang pertanian moden.
Beliau berkata, sekiranya mempunyai misi yang jelas mereka berpotensi menjadi jutawan.
Katanya, sudah sampai masanya lepasan IPT mengubah minda belajar tinggi semata-mata untuk bekerja dengan kerajaan.
“Ilmu dan kepakaran yang ada di dada mereka boleh dimanfaatkan untuk membangunkan sektor pertanian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Parlimen Pasir Puteh di sini hari ini.
Dr Nik Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, mereka perlu mencontohi rakyat di negara-maju maju seperti di Amerika hidup kaya raya dengan bekerja sebagai peladang.
Kata beliau rakyat negara maju mengusahakan bidang pertanian secara komersial dan moden.
Beliau berkata, banyak peluang yang boleh diterokai termasuk mengusahakan tanah-tanah terbiar yang banyak di Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk ditanam pelbagai jenis tanaman jangka pendek.
“Di Kelantan banyak tanah beris di kawasan pantai boleh diusahakan dengan pelbagai tanaman yang sesuai seperti ubi keledek dan jagung.
“Manakala di kawasan Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang pula sesuai dengan nanas dan sayur-sayuran. Mereka perlu menggunakan peralatan moden untuk menghasilkan pendapatan lumayan dan kerja lebih cepat,” katanya.
Menurutnya teknologi dron boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja meracun dan membaja tanaman yang diusaha dengan skala besar.
Katanya, mereka perlu merancang bukan untuk sekadar mencukupi hasil pertanian bagi keperluan keluarga, sebaliknya boleh dieksport ke luar negara.
“Ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mengurangkan import bahan makanan dari luar negara yang jumlahnya berbilon ringgit setahun,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 29/8/2021