KUALA LUMPUR: Semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan membabitkan Covid-19 akan dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan, lapor Bernama, semalam.
Menurutnya, jika dahulu ada dua kementerian berkaitan Covid-19 iaitu KKM dan MOSTI selain ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh dua menteri, dua Ketua Setiausaha (KSU) dan dua Ketua Pengarah, agak sukar kerana mungkin berbeza daripada pandangan dan sebagainya.
“MOSTI pula akan fokus mengeluarkan vaksin sendiri kerana jika Thailand boleh mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin.
“Ini kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti penyakit denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan. Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar.
“Kerana apabila kes bertambah dan kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, itu akan menyebabkan bekalan agak terjejas. Jika kita boleh keluarkan vaksin sendiri, keadaan akan berbeza,” katanya.
Tambahnya, kerajaan berharap kilang-kilang boleh membeli vaksin sendiri kerana ia lebih cepat.
“Kita telah memaklumkan bahawa mana-mana kilang dengan 80 peratus pekerja telah lengkap dua dos vaksin boleh kembali beroperasi. Saya percaya harga vaksin ini tidak semahal jika dibandingkan dengan kerugian yang dialami mereka kalau kilang terus ditutup,” katanya.
Beliau dalam masa sama, turut meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah supaya memperbanyakkan PPV pandu lalu.
Langkah itu mengambil kira kaedah berkenaan lebih mudah, tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan, selain penerima vaksin tidak perlu beratur bersama individu lain.
Sementara itu, Dr Noor Hisham memberi jaminan bekalan ubat-ubatan berkaitan rawatan Covid-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya.
Bekalan itu katanya, diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.
Tambahnya, bagi mengatasi masalah itu, KKM telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasinya melalui beberapa pendekatan.
Sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan bagi rawatan Covid-19 meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes mendadak di seluruh dunia.
Menurutnya, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik Covid-19.
Situasi itu katanya sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan Covid-19 di hospital awam.
“KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini.
“Selain itu, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.
“Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.
Bagaimanapun, maklum Dr Noor Hisham, KKM telah mengambil beberapa langkah dengan bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif ubat di bawah kontrak pusat.
KKM juga melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan Covid-19.
“KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.
“Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan.
“KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya yang berkaitan dengan rawatan Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 61.9 peratus atau 14,487,972 populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), seramai 19,241,946 individu atau 82.5 peratus telah menerima dos pertama setakat 29 Ogos.
Ini menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 33,724,744 dos. – HARAKAHDAILY 29/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!