KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid merupakan kehilangan besar buat negara, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut berkata, Almarhum merupakan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.
“Mendapat perkhabaran berita sedih pagi ini, bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah kembali ke rahmatullah.
“Almarhum merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara daripada tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, pagi ini.
Katanya, Almarhum juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1999 kerana jasa-jasanya dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
Menurutnya, pemergian Almarhum merupakan kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.
“Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum. Semoga sabar dan tabah atas ujian ini.
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Almarhum, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Tun Ahmad Sarji meninggal dunia pada jam 1.40 pagi tadi. – HARAKAHDAILY 28/8/2021