Tekanan hidup PKP dorong kes keganasan rumah tangga

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Tekanan hidup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenal pasti antara faktor berlaku peningkatan kes keganasan rumah tangga membabitkan wanita di Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan Masyarakat dan Tugas-Tugas Khas Perlis, Siti Berenee Yahaya berkata, tahun ini kes tersebut meningkat kepada 12.

- Advertisement -

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding pada Jun hingga Disember 2020 iaitu hanya empat kes.

“Jika dibanding dengan tahun lepas, Perlis tidak mempunyai banyak kes walaupun PKP dilaksanakan bermula Mac tahun lepas.

“Tahun ini peningkatan memang sangat ketara kerana rentetan daripada tekanan hidup seperti suami hilang pekerjaan atau isteri juga diberhenti kerja,” katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, di Kompleks Dun, semalam.

Siti Berenee juga berkata, pihaknya menawarkan khidmat bantuan nasihat melalui kaunselor bertauliah oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kepada pasangan atau keluarga bermasalah.

Menurutnya juga sebanyak 31 kes menerima khidmat kaunseling diterima oleh kaunselor dari agensi dan jabatan terbabit, di mana sebahagiannya menghadapi masalah rumah tangga.

“Mereka tidak semuanya membawa kepada keganasan rumah tangga, ada yang hanya meminta nasihat, ada yang dapat diselesaikan dengan baik.

“Namun, ada juga sehingga membawa kepada perceraian di mana rekod kita menunjukkan sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 576 kes penceraian.

“Dari Januari hingga awal Ogos tahun ini 264 kes penceraian berlaku, bagi saya ianya tinggi untuk lapan bulan pertama dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Manakala pelajar sekolah pula berdepan tekanan dengan tuntutan belajar menerusi kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Katanya, tugasan PdPR tiada masalah, yang menjadi masalah ialah ketiadaan peranti mencukupi menyebabkan mereka terpaksa berkongsi dengan adik beradik yang lain.

“Contohnya apabila ibu bapa keluar bekerja, maka mereka terpaksa berkongsi bersama adik beradik untuk sesi PdPR dan menyebabkan mereka tertekan.

“Walaupun tidak banyak, namun kes sebegini wujud dan kaunseling diberikan kepada mereka supaya dapat terus belajar dan mengatasi masalah ini dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2021

- Advertisement -