Penyatuan pelbagai parti mampu kukuh kestabilan kerajaan

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Kamaruzaman Yusoff menyifatkan barisan Kabinet baharu Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengutamakan komposisi setiap parti di negara ini.

Menurut Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, dalam pembentukan kabinet baharu itu, pendekatan kerjasama politik dilihat diutamakan dengan melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Katanya, dari segi komposisi mengikut parti di dalam kerajaan, beliau melihat kepentingan Sabah dan Sarawak lebih diutamakan dan menganggap ianya bagus dari segi politik dan kerjasama antara parti.

Barisan kabinet baharu mengalami sedikit perubahan taktikal dengan mengekalkan pemimpin yang hampir sama, ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

“Perubahan Saifuddin, (Saifuddin Abdullah) kerana dia didakwa lemah dalam menangani isu media sosial, maka tindakan ganti dengan Anuar Musa dilihat lebih baik untuk mengawal kekalutan media sosial.

“Dengan harapan isu perebutan kuasa akan dapat dikendurkan kerana Anuar Musa terkenal dengan tokoh yang diterima oleh Bersatu dan PAS, walaupun mungin Umno kurang selesa masa dulu,” katanya.

“Pada masa ini fokus kepada dasar luar tidak begitu signifikan kerana pandemik, masa pengalaman Saifudin (Dato’ Saifuddin Abdullah) masa dalam kerajaan PH (Pakatan harapan) boleh dimanfaatkan dan peranan Kamarudin (Kamarudin Jaafar) boleh membantu mendekatkan dengan negara Islam,” jelasnya.

Sehubungan itu, pelantikan Khairy Jamaludin Abu Bakar mengetuai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sangat tepat berikutan sumbangannya yang sangat besar dalam memastikan kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Memang KJ (Khairy Jamaludin) patut pegang Menteri Kesihatan memandangkan beliau sangat aktif dalam usaha menentang pandemik.

“Walaupun (Khairy Jamaludin) bukan seorang doktor perubatan, saya yakin beliau boleh berperanan dgn lebih baik, hingga usaha ke arah imuniti kelompok dapat terlaksana ikut jadual. Dr Adham Baba boleh dianggap sebagai pembantu kuat kepada KJ,” tambah Kamaruzaman.

Sementara itu katanya, beliau tidak menafikan pelantikan kabinet baharu ini lebih didominasi menteri dalam kalangan Umno.

“Saya nampak memang Umno berjaya memastikan mereka lebih dominan, kerana Bersatu pun bimbang takut kerajaan baru tidak dapat bertahan,” ujarnya.

Bagaimanapun, penyatuan pelbagai parti ini menerusi jemaah kabinet mampu mengukuhkan kestabilan kerajaan baharu tanpa ganggu gugat blok pembangkang.

“Sungguhpun begitu, satu kejayaan besar kabinet baru ini adalah janji kerjasama pembangkang sehingga mereka tiada alasan untuk menjatuhkan kerajaan ini,

“Kluster mahkamah Umno pun tidak dapat diselamatkan kerana kerajaan telah diikat oleh pembangkang dan Bersatu serta PAS yg sangat komited menentang kolusi korupsi dan nepotisme,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/8/2021

- Advertisement -