Paralimpik Tokyo 2020: Nasib berbeza buat dua perenang negara

Jamery Siga

TOKYO: Dua perenang negara mengalami nasib berbeza walaupun terkandas di peringkat saringan pada hari ketiga saingan  yang berlangsung di Pusat Akuatik Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.

Brenda Annellia Larry menampilkan persembahan yang mantap apabila berjaya memperbaiki rekod peribadinya dengan catatan masa 1 minit 00.62 saat (s) untuk menduduki tempat ketujuh

Advertisement

Perenang kelahiran Sabah berusia 16 tahun itu menamatkan renangan di kedudukan terakhir dalam saringan kedua acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu wanita S5 (kecacatan fizikal).

Saringan kedua itu dimenangi oleh atlet China, Dong Li dengan catatan masa 40.74s diikuti rakan senegaranya, Jiao Cheng dengan masa 43.05s manakala tempat ketiga pula dimenangi perenang Brazil, Joana Maria da Silva Neves Euzebio, dengan catatan 46.32s.

Brenda menduduki tempat ke-13 daripada keseluruhan 14 pelumba daripada kedua-dua saringan dan hanya lapan perenang terbaik layak ke final.

Sementara itu, seorang lagi perenang negara, Jamery Siga kecewa apabila misinya untuk memperbaharui rekod peribadi tidak kesampaian selepas hanya mencatat 40.32s.

Catatan peribadi terbaiknya sebelum ini ialah 38.28s yang dilakukan di Kejohanan Renang Para Dunia di London, United Kingdom pada 2019.

Perenang Sarawak berusia 36 tahun itu juga mengakui permulaan yang kurang memuaskan dalam saingan hari ini mengakibatkannya mengakhiri kempen di Jepun itu untuk berada di tempat terakhir dalam saringan ketiga acara 50m kuak kupu-kupu lelaki S5.

Jamery yang membuat penampilan ketiga Paralimpik di Jepun menduduki tangga keenam dalam saringan berkenaan. 

Tao Zheng dari China mengungguli saingan itu selain turut memecah rekod dunia dengan masa 32.34s, diikuti Yaroslav Semenenko dari Ukraine dengan 34.55s dan ketiga pula milik perenang tuan rumah, Kaede Hinata dengan 37.8s.

Jamery  yang mengalami polio sejak usia lima tahun sehingga mengakibatkan tangan kanannya kecut juga mendedahkan kempennya di Paralimpik Tokyo adalah yang terakhir memandangkan usianya yang makin lanjut sekiranya mahu beraksi di Paris 2024.

“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak mampu buktikan yang terbaik, mungkin ini Paralimpik terakhir saya, umur pun semakin meningkat,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak.

Bagaimanapun, beliau masih lagi berminat untuk terus mewakili negara dan akan kembali fokus untuk misi seterusnya dalam kejohanan serta temasya sukan lain termasuk Sukan Para Asia di Hangzhou, China tahun depan. – BERNAMA