Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Adun Salor Saiful Adli Abu Bakar tidak menyangka salah seorang penerima bantuan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mempunyai pertalian dengan perdana menteri (PM).
Menurutnya, penerima bantuan perniagaan terbabit Che Rahimah Othman, 68, merupakan seorang peniaga yang menjual pelbagai jenis ubi rebus dan jagung rebus di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu.
Katanya, peniaga terbabit menerima bantuan di Pusat Khidmat Dun Salor baru-baru ini.
“Pada mulanya dia tidak memberitahu sebagai emak sepupu kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi bila kita tanya latar belakang barulah dia maklumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sambutan bulan kemerdekaan peringkat Dun Salor di perkarangan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek semalam.
Sumbangan tersebut bertujuan membantu peniaga kecil dan sederhana di Dun Salor yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bantuan kerajaan negeri sebanyak RM50,000 diagih kepada setiap 45 kawasan Dun bagi membantu peniaga yang terkesan.
Beliau juga dimaklumkan pengusaha Restoran Nasi Kerabu Che Awang yang popular di Salor juga mempunyai pertalian rapat dengan perdana menteri.
Saiful Adli juga berkata, pengasas restoran terbabit merupakan emak saudara perdana menteri, namun sekarang mereka sudah tiada lagi.
Sementara itu Che Rahimah berkata dalam kalangan saudara-mara, Ismail Sabri dipanggil nama ‘Poksu Yie’, mempunyai sanak saudara yang ramai di Kelantan.
Kata beliau kedua ibu bapanya perdana menteri berasal dari Kelantan.

“Ismail Sabri tetap meluangkan masa datang ke sini bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli keluarga di kampung.
“Beliau tidak dilahirkan di sini (Kampung Gertak Lembu), tetapi masih ingat kepada keluarga di kampung asal kedua orang tuanya di sini, kalau ada urusan rasmi kerajaan di Kelantan, dia tetap luangkan masa.
“Saya bangga dengan pelantikannya dan berharap Ismail buat kerja dengan lebih baik untuk membantu rakyat ketika penularan wabak Covid-19 sekarang,” katanya.
Che Rahimah juga berkata, beliau berniaga sejak 1990 di perkarangan stesen bas Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) dan di tepi jalan di Kampung Gertak Lembu.
Katanya sekarang jualan ubi, pelbagai jenis kacang serta jagung terjejas setelah berlaku penularan wabak Covid-19.
“Makcik agak celaru kerana peniagaan tidak menentu. Awal tahun lepas makcik berniaga di Pasar Siti Khadijah,” katanya.
Saiful Adli juga berkata, perdana menteri mempunyai ramai waris di Kampung Gertak Lembu, Salor dan Tendong, Pasir Mas. – HARAKAHDAILY 27/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!