Bersifat kenegarawan

- Advertisement -

Oleh MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN

- Advertisement -

TANAH air kita hanya satu, Malaysia. Sebuah negara yang damai, hijau, membangun, kehidupan rakyat pelbagai kaum dan agama. Malaysia ini mesti dimajukan bukan dimundurkan apatah lagi dibejatkan. Kefasadan negara adalah disebabkan oleh tangan yang dikawal oleh hati yang kotor.

Setelah penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Yathrib, baginda tidak bermaharajalela. Sebaliknya, baginda berusaha membina kerukunan hidup untuk mempersatu umat. Pemerintahan, perundangan, pendidikan, persaudaraan dan perekonomian diletakkan pada kompas yang betul.

Akhirnya, Yathrib (celaan) menjadi bandar Madinah (kuat). Transformasi Madinah bukan dilakukan oleh politikus yang rakus haloba. Madinah dibangun oleh hati insan yang tunduk diperintahkan Tuhan dan beriltizam dengan kerja buat yang ikhlas murni.

Madinah dibina oleh rakyat yang dipupuk untuk setia menegak kedaulatan negara. Rakyat yang diberi layanan keadilan, bukan hanya materi tetapi kehidupan sosial. Pemimpin yang sentiasa berjelajah mesra tanpa geger dan mempunyai kepedulian tinggi.

Begitulah pemimpin yang bersifat kenegarawanan bukan kehaiwanan. Tiada guna bercakaran politik sepanjang masa. Berikanlah waktu untuk membanting keringat membina negara yang satu. Jika tergadai negara ini tiada tempat berteduh untuk cucu cicit, akhirnya merempat di negara sendiri.

Hari ini, kedengaran laungan perpaduan, rentas parti dan persefahaman politik. Walau apa jua istilah, sama ada gentlemen’s agreement, confidence and supply agreement waimma gencatan politik sekalipun, itulah sebenar yang mahu diejawantahkan. Negara yang satu ini mesti dibangunkan. – HARAKAHDAILY 27/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!