Balaslah dengan cara paling baik

- Advertisement -

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (34)

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

(Fussilat: 34)

- Advertisement -

Sebab turun ayat

Menurut Muqatil, ayat ini turun kepada Abu Sufyan yang menyakiti dan memerangi Nabi S.A.W. (Ibnu Kathir, At Tobari, Baghawi)

Kata Ibnu Abbas, membalas dengan cara paling baik ialah bersabar ketika dimarahi, berlembut dengan orang yang jahil, dan berlapang dada (memaafkan) ketika disakiti.

Baik vs buruk

Kebaikan dan keburukan merupakan dua perkara yang bertentangan. Maksudnya, dengan akal yang waras, kita sangat boleh membezakannya. Lalu agama datang memandu manusia dengan penjelasan yang tuntas.

Sekalipun ia berbeza, seringkali manusia keliru dan tersilap disebabkan maklumat separa masak yang diterima, atau kemampuan yang terbatas untuk memahami sesuatu. Maka di sinilah pentingnya interaksi untuk menjawab kekeliruan dan salah faham dengan baik, bahkan dengan cara yang paling baik. 

Implikasi dakwah

Di dalam ayat ini juga mendidik para pendakwah supaya tidak membalas keburukan atau kejahatan dengan keburukan kerana kesannya amat berbeza. Boleh jadi seseorang itu tidak menyukai Islam, namun berkat hemat dan sabarnya pendakwah tidak membalas dengan sesuatu yang buruk, boleh menjadi sebab untuk dia berubah. 

Emosi orang yang disakiti (baca diprovok)

Tidak dinafikan, suatu yang sukar dielakkan ialah merasa marah jika diprovok. Ia boleh berlanjutan kepada perilaku yang buruk seperti memaki hamun hingga pergaduhan dan pertempuran. Di sinilah yang membezakan sikap dan akhlak kita yang sebenar.

Satu kisah menarik di zaman Nabi S.A.W:

Suatu hari datang seorang Pendeta Yahudi bernama Zaid bin Su’nah, datang bertemu Nabi S.A.W dan meminta untuk ditunaikan haknya. Dia merentap lengan baju Nabi dan berkata sesuatu yang menyakitkan hati. Ketika itu turut bersama Nabi S.A.W ialah Umar Al-Khattab. Lalu Umar memaki hamun lelaki tersebut dan menghalaunya. Lantas Nabi menghalang Umar dan berkata:

“Duhai Umar, bukankah dia datang untuk menuntut haknya? Sepatutnya engkau menasihatiku untuk menunaikan haknya dan engkau menasihatinya untuk meminta hak dengan baik. Langsaikan hutangnya yang berbaki 3 cupak, dan tambahkan lagi 30 cupak untuk ganti rugi kemarahanmu tadi.”

(Diriwayatkan di dalam Mustadrak Al Hakim)

Lihatlah bagaimana Nabi tidak berkasar walaupun dikasari, dan tidak pula Baginda mengasari Sahabat yang menegurnya.

Kesan membalas dengan baik

Di dalam ayat ini, Allah menjanjikan satu hasil yang kita semua inginkan, iaitu mereka yang menentang berubah fikiran dan menjadi rapat pula. Melalui sebab turun ayat, Abu Sufyan yang kuat penentangannya terhadap Islam, akhirnya menjadi pendukung kuat agama. 

Ia bukanlah suatu hasil segera dan cepat. Perlu kepada kesabaran yang tinggi dan kesungguhan mendapatkan maklumat untuk penjelasan yang tuntas. 

Sabar yang sukar

Kata Said Qutub, bersabar itu sudahlah payah, mahu membalas keburukan dengan kebaikan pastinya tidak mudah. Berhadap dengan mereka yang tidak sependapat, apatah lagi berbeza anutannya, bermula dengan menerima terlebih dahulu sebelum membidas.

Kelihatan sukar bukan? Namun kita punya qudwah yang ulung daripada para Nabi terdahulu hinggalah kepada Nabi Muhammad S.A.W bahawa ia boleh dipraktikkan.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 27/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10226252378355544/

- Advertisement -