Adakah ubat lain dilarang guna oleh syarikat vaksin?

- Advertisement -

JANGAN terlalu mudah buat tuduhan fitnah. Jangan juga memandai buat tafsiran kononnya KKM tak akan guna ubat-ubatan lain dalam pengurusan COVID-19. Kononnya akibat perjanjian Non Disclosure Agreement (NDA) dengan syarikat vaksin, maka ubat lain seperti Hydroxychloroquine, Ivermectin, Colchicine, ‘pemakanan sunnah’, herba dan beberapa lagi tidak akan dibenarkan guna. Kalau tak tahu hujung pangkal apa itu NDA, jangan reka-reka cerita tak benar.

Sebenarnya KKM tidak sekat pun mana-mana ubat yang boleh membuktikan keberkesanan dan selamat digunakan berdasarkan disiplin ilmu perubatan. Kalau sudah terbukti berkesan, apa salahnya digunakan? Kalau belum berkesan, tidak atau belum boleh guna. Senang sahaja syaratnya. Bukan kerana perjanjian jual beli dengan syarikat vaksin pun. Sejak bermula pandemik COVID-19, terdapat beberapa ubat atau bahan yang telah disyorkan oleh pakar-pakar. Semuanya melalui proses kajian.

- Advertisement -

Boleh lihat rekomendasi terbaharu bagi rawatan COVID-19.

1. Rekomendasi kukuh penggunaan ubat IL-6 receptor blockers (tocilizumab atau sarilumab) terhadap pesakit yang teruk atau kritikal. Laporan kajian ubat tocilizumab telah dikeluarkan pada 6 Julai 2021). Ianya telah melepasi kajian klinikal yang bernama recovery dan remap-cap trials.

2. Rekomendasi kukuh penggunaan Corticosteroid terhadap pesakit yang teruk dan kritikal. Laporan kajian klinikal telah pun disiarkan pada 2 September 2020 lagi. 

3. Rekomendasi bersyarat juga dibenarkan menggunakan systemic corticosteroids terhadap pesakit yang tidak teruk. Pakar-pakar yang merawat akan menilai pesakit tersebut sama ada sesuai atau tidak. Laporan kajian klinikal telah pun disiarkan 2 September 2020.

Terdapat beberapa ubat setakat ini belum diluluskan setelah disyor. Buat masa ini ubatan berkenaan tidak berkesan jika digunakan: 

1. Rekomendasi tidak menggunakan Ivermectin (ubat parasit) bagi merawat kes COVID-19 kecuali bertujuan kajian klinikal. Laporan kajian yang disyor ini disiarkan 31 Mac 2021. 

2. Rekomendasi kukuh tidak menggunakan Hydroxychloroquine (Ubat Malaria) terhadap pesakit COVID-19 semua kategori. Laporan disiarkan pada 17 Disember 2020.

3. Rekomendasi kukuh tidak menggunakan Lopinavir/Ritonavir (ubat antivirus seperti HIV) terhadap pesakit COVID-19 semua kategori. Laporan disiarkan pada 17 Disember 2020. 

4. Rekomendasi bersyarat tidak menggunakan Remdesivir (Antiviral) terhadap kes COVID-19. Laporan disiarkan 20 November 2020.

Dalam proses kajian yang belum jelas lagi keputusannya:

1. Colchicine (ubat Gout). 

2. Monoclonal antibodies. 

3. Anticoagulants (Heparin pencair darah). 

Prinsip kita adalah, apa sahaja bahan yang dicadangkan oleh pakar-pakar jika ianya melepasi kajian-kajian klinikal perubatan yang sahih, maka bolehlah digunakan. Bukannya ikut rasa sedap hati nak guna sebab testimoni diri sendiri. 

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 27/8/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Rujuk:

[1] NIH Guideline. Interleukin-6-inhibitor. https://www.covid19treatmentguidelines.nih.gov/therapies/immunomodulators/interleukin-6-inhibitors/

[2] NIH Guideline. Hospitalized Adult Therapeutic Management. https://www.covid19treatmentguidelines.nih.gov/management/clinical-management/hospitalized-adults–therapeutic-management/

[3] WHO Interim Guideline. https://www.who.int/publications/i/item/WHO-2019-nCoV-prophylaxes-2021-1

- Advertisement -