Team Wawasan 1993 ditenggelam ikon baru politik

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

TIDAK mampu dinafikan lagi peragawan politik era 1990-an makin ke penghujung. Sedangkan sejak tempoh itu sehingga 21 Ogos lepas jenama politik hanya berkisar kepada watak yang sama.

Selain Dr Mahathir Mohamad, ada pasukan yang dikenali sebagai Team Wawasan. Ramai mengenali dalam kalangan mereka. Pasukan itu diketuai Anwar Ibrahim.

Juga melibatkan Muhyiddin Yassin, Ahmad Zahid Hamid, Muhammad Taib Muhamad dan Najib Razak. Sejak tempoh itu medan politik dikuasai pasukan terbabit.

Selepas Dr Mahathir berundur pada 2003, pasukan itu berada di pinggiran seketika. Abdullah Ahmad Badawi menjadi pilihan Tun untuk menggantinya tatkala itu.

- Advertisement -

Era Tun juga menyaksikan Umno menjadi tumpuan korporat muda. Mendapat kedudukan di peringkat bahagian sudah memadai untuk bergelar jutawan segera.

Kata wartawan veteran Johan Jaaffar banyak orang percaya menjadi pemimpin Umno adalah tiket untuk mengaut kekayaan. Maka kata beliau kedudukan penting Umno bermula dari Presiden sehingga ketua bahagian jadi rebutan.
Ia berlaku di mana-mana.

Sedangkan ia jauh berbeza dengan perjuangan Umno sebelum itu. Sumbangan dana bagi menggerakkan Umno era Tunku hingga Hussien Onn datang daripada ahli dan penyokong. Ketika itu Umno miskin.

Namun semangat perjuangan mereka begitu kental. Kata Johan ramai pemimpin dan pejuang Umno meninggal dunia miskin tanpa meninggal harta. Namun segalanya berubah selepas Umno menjadi parti dominan.

Umno mengawal beberapa syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur. Gabungan Kasturi Sdn Bhd menjadi denak bagi Umno.

Penswastaan

Keadaan tambah rancak apabila dasar penswastaan diperkenalkan Dr Mahathir. Usaha perdana menteri ketika itu dibantu Daim Zainuddin bagi mewujudkan golongan korporat baru.

Dalam tempoh antara 1983 hingga 1990 banyak projek penswastaan dilaksanakan. Manakala pada 1992 dan 1993 sebanyak 93 lagi projek penswastaan dirancang kerajaan.

Instrumen utama yang dilaksanakan di bawah Pelan Induk Penswastaan pada 1991 menggunakan model Jualan Ekuiti dan lesen bina-urus-serah (BOT).

Jualan ekuiti membabitkan Malaysia Airlines pada 1985, Telekom (1990), Perusahaan Automobil Nasional (1991). Manakala kaedah BOT pula memberi lesen mengendalikan Sistem Televisyen Malaysia (TV3) pada 1983.

Selain itu Kuala Lumpur Interchange (1987) dan Lebuh Raya Utara Selatan (1988). Menurut John Hilley dalam bukunya Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru, kira-kira 40 perkhidmatan kerajaan dipindahkan PNB, Umno dan pemegang amanah lain. Ternyata Umno menjadi lubuk emas di saat itu.

Maka tidak hairanlah ramai anak-anak muda yang terbabit seketika dengan Umno mampu memiliki kereta mewah dan bina rumah besar. MIC juga ada sayap pelaburan Maika Holdings. Manakala cabang pelaburan MCA pula Multi Purpose Holdings.

Namun kehebatan itu tergugat pada 1997 apabila matawang Baht jatuh mendadak angkara spekulator asing. Kesannya juga menjalar ke rantau ASEAN termasuk Malaysia dan Indonesia.

Bermula dari situ berlaku pertembungan antara Dr Mahathir dan Anwar bagi mencari kaedah merungkai kemelut ekonomi berlaku. Anwar lebih berkiblat pendekatan seperti disyorkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sebaliknya Dr Mahathir menolak langkah itu.

Bermula dari situ babak-babak bagi menjatuhkan Anwar bermula.

Tuah Anwar

Namun selepas menyertai Umno Anwar pada 1982 beliau meningkat cepat dalam hierarki Umno. Dalam banyak keadaan beliau melompat kepala ramai pemimpin lain.

Pada 9 September 1982 Anwar menewaskan Suhaimi Kamaruddin jawatan Ketua Pemuda Umno. Bermula dari situ Anwar terus mendaki tangga Umno tanpa menoleh ke bawah.

Kemuncaknya Team Warisan membantu Anwar menang besar pada Perhimpunan Agung Umno 1993. Ketika itu isu politik wang mulai panas. Team Wawasan menyapu bersih kedudukan utama dalam Umno.

Anwar menang tanpa bertanding Timbalan Presiden Umno. Selepas itu pada 1 Disember 1993 dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin pula menang di kerusi Naib Presiden Umno. Abdullah Ahmad Badawi juga menang di kerusi sama. Najib dan Muhamad Mohd Taib juga kekal.

Berdasar kepada tanzil itu hanya Muhamad Muhd Taib yang terpelanting lebih awal daripada arus perdana Umno. Manakala Anwar bertukar posisi di saf pembangkang sejak 1998.

Ternyata Team Wawasan berjaya melakar sejarah. Kesemua aktor terbabit mengecapi kedudukan sebagai ketua eksekutif Malaysia. Najib bergelar perdana menteri ketika hayat akhir Barisan Nasional.

Manakala Muhyiddin pula bergelar perdana menteri di bawah kabinet Perikatan Nasional (PN). Hanya Anwar, Muhammad Taib dan Zahid belum berpeluang menjejaki jawatan itu.

Namun masanya sudah suntuk. Usia dan peribadi mereka memberi ruang muncul jagawan politik yang lebih muda. Munculnya kelibat Ismail Sabri bermakna kegemilangan Team Wawasan semakin pudar.

Mereka dilihat tidak mampu lagi mengimpikan mahligai seperti 1993. Masa untuk mereka sudah berlalu. Anwar juga semakin diragui rakan sendiri. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -