Penyatuan politik agenda PM atasi kemelut Covid-19

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dilihat mempunyai gambaran besar yang jelas mengenai hala tuju negara, selain bersedia meneruskan agenda kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin. 

Menurutnya, kerajaan kini perlu mengembalikan fokus rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa untuk bertindak secara bertanggungjawab seperti sebuah keluarga yang saling mendukung di antara satu sama lain di dalam agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN).  

- Advertisement -

“Penilaian risiko serta hasil analisa data telah menunjukkan bahawa PPN sedang berada di landasan yang tepat dan mampu mengeluarkan Malaysia daripada kemelut pandemik Covid-19 dalam kadar segera seperti yang telah dijadualkan,” katanya dalam suatu kenyataan melalui laman sosial Facebook baru-baru ini. 

Tambah beliau, tema ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri dilihat membawa mesej besar ke arah penyatuan sebenar politik Malaysia. 

“Tema besar yang dibawa Perdana Menteri adalah sangat tepat dalam keadaan sekarang, yang mana keadaan negara kita kini sedang berhadapan dengan peperangan melawan pandemik Covid-19 serta kemelut kerakusan kuasa politik yang tidak pernah berhenti sehingga membantutkan usaha membaik pulih ekonomi negara,” ujarnya.

Katanya lagi, tindakan kerajaan menawarkan pihak pembangkang untuk terlibat secara langsung dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 membuktikan keterbukaan untuk bekerjasama tanpa mengira latar belakang politik. 

Menurutnya, perkara tersebut juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu mewujudkan kestabilan politik negara melalui kerjasama rentas parti politik. 

Sementara itu katanya, beliau menyokong penuh rancangan Perdana Menteri untuk segera membela dan memulihkan ekonomi rakyat serta sektor swasta yang terjejas melalui dua objektif utama.

Dua objektif tersebut ialah mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara. 

“Seperti yang pernah saya huraikan sebelum ini iaitu kerajaan Persekutuan yang baharu perlu memberi  fokus kepada dua perkara iaitu ekonomi dan keselamatan rakyat. 

“Saya pasti menyokong penuh usaha Perdana Menteri untuk memastikan suara anak muda di dalam negara kita lebih didengari dan diberi perhatian oleh pihak kerajaan. 

“Golongan muda perlu diberikan lebih ruang dan peluang dalam negara bertuah ini untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan agenda pemulihan negara oleh kerajaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -