Operasi mencuci kesan tragedi kepala air tamat esok

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Operasi mencuci kesan tragedi kepala air Gunung Jerai akan ditamatkan esok (26 Ogos).

Menurut Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad, ini memandangkan sehingga kini 90 peratus premis yang terkesan sudah selesai dicuci.

- Advertisement -

Beliau yang juga Pengerusi Bilik Gerakan Bencana di Masjid Wusto, Guar Chempedak berkata, selepas ini tumpuan akan diberikan untuk menyampaikan sumbangan keperluan kepada mangsa terlibat.

“Operasi mencuci sudah selesai 90 peratus, cuma kawasan chalet yang kebanyakannya terkesan teruk masih belum dibersihkan,” kata beliau dalam kenyataan, semalam.

Ujarnya lagi penghantaran keperluan asas kepada mangsa kejadian seperti tilam, selimut, dapur gas, periuk, tikar getah dan lain-lain akan diurus oleh pihak beliau.

Sungguhpun begitu jelas beliau lagi, sumbangan kewangan masih diperlukan yang akan dibuat agihan selepas ini.

“Keseluruhan sumbangan akan membabitkan 1,500 keluarga,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Jerai itu juga mengingatkan semua petugas yang terlibat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Bilik Gerakan Bencana yang berpusat di Masjid Wusto, Guar Chempedak memulakan operasi sejak malam kejadian 18 Ogos lalu.

Bilik operasi itu dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -