Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang tetap meneruskan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara walaupun ditolak oleh masyarakat.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, Selangor adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menguatkuasakan penyiasatan awam sebagai syarat dalam prosedur penyahwartaan hutan simpan kekal.
“Apa maknanya penyiasatan awam jika prosedur penyahwartaan hutan simpanan diterus sedangkan ditolak oleh masyarakat berdasarkan saluran bantahan umum dan Usul No 26 yang diluluskan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November tahun lalu.
Dr Ahmad Yunus berkata demikian ketika membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 di sini, hari ini.
Katanya, Hutan Simpan Kuala Langat Utara adalah isu yang penting bagi masyarakat dan negeri kerana hutan simpan kekal di Selangor semakin berkurangan dengan keluasan hutan sedia ada hanya kira-kira 250,000 hektar, iaitu kurang daripada 30 peratus keluasan negeri.
Beliau memuji prestasi pelaburan Selangor tahun ini yang tinggi dengan nilai pelaburan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebanyak RM18.43 bilion dengan daerah Kuala Langat menerima pelaburan RM5.7 bilion.
Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam penerimaan pelaburan dan sepatutnya mempunyai prinsip mengutamakan pelaburan yang mesra pembangunan lestari dan alam sekitar.
“Saya bimbang dengan sesetengah industri seperti kitar semula dan juga pembangunan industri di Bandar Mahkota yang menggunakan sumber air besar. Jawapan mengenai isu ini dalam persidangan yang lalu dan juga mesyuarat dua hala Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tidak meyakinkan.
“Kebimbangan saya kini ialah sudah ada kesan pencemaran di Sungai Langat apabila paras oksigen dalam air merosot,” katanya.
Menyentuh mengenai isu pandemik Covid-19, Dr Ahmad Yunus berkata, kerajaan negeri perlu melangkah ke hadapan dengan penuh positif serta berharap kesilapan dan kelalaian yang berlaku tidak berulang.
Beliau berkata, Sultan Selangor ketika istiadat pembukaan persidangan menzahirkan kesedihan dan dukacita kerana negeri ini merekodkan jumlah pesakit dan kematian akibat wabak Covid-19 paling tinggi di Malaysia akibat kelalaian terhadap penguatkuasaan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sebagai contoh pada 16 Ogos, katanya 35.4 peratus daripada kes jangkitan seluruh negara dan 34.5 peratus daripada jumlah kematian seluruh negara berlaku di Selangor.
Katanya, kadar vaksinasi 77 peratus bagi dos pertama dan 46 peratus dos kedua di Selangor adalah tinggi tetapi boleh dipertingkatkan.
Beliau turut mencadangkan beberapa usaha seperti untuk menangani penularan Covid-19, iaitu menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan yang baharu, serta memperkasa dokumentasi dan ujian saringan sebagai lesen rentas daerah dan negeri serta memperkasakan program imunisasi bergerak. – HARAKAHDAILY 25/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!