Rumah musnah banjir akhirnya berganti

- Advertisement -

TEMERLOH: Kelab Alternatif Pacuan Empat Roda Prihatin (A4C Care) Pulau Pinang telah membantu keluarga Ahmad Azrin Arshad, 45 melakukan pembinaan semula rumah-nya di Kampung Batu Kapor, di sini.

Ia setelah keluarga enam beranak itu menghadapi ujian apabila rumah yang telah lama mereka diami runtuh akibat ditenggelami musibah banjir selama lebih 10 hari pada tanggal 4 Januari dahulu.

Pengarah A4C Care, Fadzil Baharom mengetuai inisiatif dengan kerjasama Pertubuhan Komuniti dan Masyarakat Sejahtera Temerloh dan PAS Kawasan Temerloh itu membantu menerusi sumbangan kutipan dana.

- Advertisement -

Mengimbas kembali detik duka itu, beliau yang bekerja sendiri menceritakan hanya sempat menyelamatkan diri dan keluarga serta dokumen penting sahaja setelah air naik dengan cepat setinggi 12 kaki.

“Manakala perabot, peralatan dan pakaian telah tenggelam atau dibawa arus deras,” katanya ketika menerima sumbangan awal berjumlah RM5,000 disampaikan Fadzil.

Manakala Yang DiPertua PAS Kawasan Temerloh, Md Jusoh Darus mengesahkan kerja-kerja baik pulih sedang giat dilaksanakan dengan anggaran keseluruhan kos RM50,000 termasuk pembelian perabot dan peralatan asas.

“Saya mewakili Pertubuhan Komuniti Dan Masyarakat Sejahtera Temerloh mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah dan akan menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini,” tambah beliau lagi.

Kepada mereka yang berhasrat membantu keluarga ini, boleh terus menyalurkan sumbangan kepada akaun Bank Rakyat 1101632589 Pertubuhan Komuniti Dan Masyarakat Sejahtera Temerloh. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -