Politik negara kini kembali stabil

Datuk Seri Azlan Man
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Suasana politik negara kembali stabil selepas Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri ke-9 di Istana Negara Sabtu lepas.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, pelantikan PM ke-9 diharap membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Katanya, suasana iklim politik negara sekarang kelihatan kembali stabil selepas kemelut politik yang berlaku sebelum ini reda.

- Advertisement -

“Perdana Menteri sudah tentu mempunyai pelan dalam usaha mengeluarkan negara daripada pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, hari ini.

Pada 16 Ogos lepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti berikutan 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.

Ekoran itu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menyokong pelantikan Ismail Sabri bagi menggantikan Muhyiddin.

Azlan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perlis berkata, urusan pelantikan jemaah menteri kabinet yang baharu diserah sepenuhnya kepada perdana menteri bagi menentukannya.

“Urusan pelantikan kabinet baharu adalah hak mutlak perdana menteri, beliau boleh melantik sesiapa sahaja untuk berada dalam kabinetnya.

“Kalau ada wakil dari Perlis, alhamdulillah dia boleh bercakap untuk faedah negeri ini khusunya dalam aspek pembangunan,” katanya.

Persidangan Dun Perlis kali ini Perlis juga difahamkan akan mengusulkan cadangan pelantikan dua senator bagi mewakili Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis.

Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dun Perlis Ke-14 bermula hari ini sehingga 26 Ogos ini diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Persidangan itu dirasmikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Seramai 14 daripada 15 Adun menyertai persidangan hari ini termasuk Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang disahkan bebas wabak Covid-19.

Bagaimanapun Adun Santan, Azizan Sulaiman tidak hadir kerana mengalami masalah kesihatan. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -