Pelajar sekolah di Kelantan divaksin bermula September

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri akan memulakan suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah berusia 17 dan 18 tahun bermula pertengahan September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, langkah itu bagi membolehkan pelajar memulakan sesi persekolahan yang dijangka akan dibuka tidak lama lagi.

“Kerajaan membuat perancangan untuk vaksin pelajar sekolah bermula pertengahan September ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat) di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

- Advertisement -

Dr Izani yang juga Adun Kijang berkata, untuk mencapai imuniti kelompok yang dijangka pada akhir September atau pertengahan Oktober hadapan.

Katanya juga Kelantan memohon tambahan vaksin sebanyak 200,000 dos daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

“Untuk September Kelantan dijangka mendapat sebanyak 700,000 dos vaksin Covid-19 dan berharap Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob akan tambah vaksin untuk Kelantan bagi memastikan mencapai imuniti kelompok.

“Untuk rekod sehingga 21 Ogos lalu jumlah individu yang telah disuntik dos pertama ialah sebanyak 54 peratus dan bagi dos kedua pula sebanyak 34.4 peratus,” katanya.

Tambah beliau setakat ini ramai rakyat di Kelantan dilihat mahu divaksin untuk membolehkan mereka lebih selamat daripada penularan wabak.

Beliau berkata, untuk memberi suntikan vaksin kepada golongan yang terlantar, Jabatan Kesihatan Negeri turut memutuskan untuk memberi vaksin dari rumah ke rumah. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -