Pandemik Covid-19, peluang memupuk empati

- Advertisement -

Oleh JAMSARI SAMA

PERMATANG PAUH: Setiausaha PAS Kawasan Permatang Pauh, Ustaz Mansor Che Dan menyeru semua pihak memandang pandemik Covid-19 dari persepektif berbeza, iaitu peluang untuk memupuk empati, meningkatkan ketaqwaan dan rasa syuku kepada Allah SWT.

Menurutnya, di sebalik suasana masyarakat hari ini yang semakin dicengkam kesusahan, keresahan, kesihatan serta ketidaktentuan pendapatan, amalan memberi dan bersedekah semakin subur.

- Advertisement -

“Alhamdulillah ada sahaja para dermawan tampil memberi kepercayaan, menghulur sumbangan kepada kita (PAS) sebagai perantara kebajikan yang diyakini dalam mengurus dan menyampaikan amanah kepada golongan yang memerlukan.

“Adalah menjadi satu kebiasaan, apabila menerima sebarang perkhabaran musibah, kemalangan dan keperluan mendesak, kami akan cakna dengan berusaha memberi sokongan dan mencari jalan untuk meringankan beban yang mereka alami,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program menyantuni tiga buah keluarga yang terlibat dalam satu kebakaran di Mukim 20, Sungai Semambu, di sini, semalam.

Menurutnya, kebakaran itu telah memusnahkan dua buah rumah, manakala sebuah rumah lagi mengalami kerosakan yang teruk.

Di samping itu, Ustaz Mansor mewakili PAS Permatang Pauh melahirkan rasa simpati kepada ketiga-tiga buah keluarga dan tidak lupa menyampaikan sedikit sumbangan buat kelangsungan kehidupan mereka.

Hadir sama semasa kunjungan ini ialah Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Parlimen Permatang Pauh, Mokhtar Mohamad serta Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Sungai Semambu. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -