Negara Asia Tenggara bergelut tangani Covid-19

- Advertisement -



BANGKOK: Negara Asia Tenggara memerlukan lebih banyak bantuan untuk mendapat bekalan vaksin Covid-19 berikutan kesukaran rantau ini mengekang peningkatan penularan jangkitan dan kematian akibat kemunculan varian Delta.

Pengarah Asia Pasifik Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Alexander Matheou, berkata rantau ini terselamat menerima kesan buruk ketika pandemik ini bermula tahun lalu, tetapi dalam tempoh beberapa minggu lalu, kadar kematian meningkat di seluruh dunia.

- Advertisement -

Katanya, kadar jangkitan yang tinggi memberi tekanan terhadap sistem kesihatan dan mendedahkan kelembapan proses pemberian vaksin di sesetengah negara.

“Peningkatan mendadak Covid-19 didorong oleh kemunculan varian Delta yang meragut banyak nyawa di Asia Tenggara. Setakat ini belum nampak penghujungnya,” katanya kepada Bangkok Post.

Kebanyakan negara Asia Tenggara, termasuk Thailand, Vietnam dan Indonesia, merekodkan kes jangkitan dan kematian yang tinggi akibat Covid-19.

Menurut Bangkok Post, Malaysia mencatat kes harian tertinggi minggu lalu, iaitu 22,242 kes. Thailand pula mengumumkan jumlah kematian seramai 312 orang, suatu rekod baharu negara itu. Indonesia melaporkan 1,128 kematian. Walaupun berkurangan berbanding lebih 2,000 orang bulan lalu, angka itu masih tinggi.

Ketika di sesetengah negara seperti Kanada, Sepanyol dan Britain, bilangan rakyat yang mendapat vaksin lengkap mencecah lebih 60 peratus dan lebih 50 peratus di Amerika Syarikat, kebanyakan negara Asia Tenggara jauh ketinggalan dalam kemajuan pemberian vaksin.

Sebagai perbandingan, Indonesia dan Filipina, dua buah negara yang mempunyai ramai penduduk di Asia Tenggara, hanya mencatat antara 10 hingga 11 peratus rakyat mendapat vaksin lengkap. Vietnam pula di bawah 2 peratus dan Thailand, hanya 7 peratus rakyat mendapat dua dos vaksin.

Dalam jangka pendek, katanya lebih banyak usaha perlu segera dilakukan oleh negara kaya untuk berkongsi jutaan vaksin dengan negara Asia Tenggara. Syarikat pengeluar vaksin dan kerajaan pula perlu berkongsi teknologi, selain meningkatkan pengeluaran.

Katanya, beberapa minggu akan datang adalah tempoh kritikal di Asia Tenggara dengan usaha perlu dipertingkatkan untuk memberi rawatan dan membuat ujian pengesanan, manakala sasaran vaksinasi perlu mencapai antara 70 hingga 80 peratus rakyat. – BANGKOKPOST

- Advertisement -