Maik belanja RM83 juta wang agihan zakat

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membelanjakan lebih RM83 juta wang agihan zakat bermula Januari hingga Jun lepas.

Peruntukan itu dikeluarkan bagi membantu asnaf dan rakyat memerlukan menerusi beberapa kategori antaranya pendidikan, perumahan, perubatan, bantuan am, Aidilfitri dan lain-lain.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sejumlah RM83,864,749 diperuntukan pada 2021 berbanding RM85,825,565 untuk tempoh sama 2020.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia menunjukkan penurunan sebanyak dua peratus atau RM1.96 juta lebih rendah daripada tahun sebelumnya.

“Pengurangan itu antara faktor terbesar akibat pengurangan agihan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini termasuk sekatan pergerakan secara penuh yang menyebabkan golongan asnaf mengalami kesulitan untuk memohon dan menghantar borang permohonan bantuan kepada MAIK,” katanya pada program di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra semalam.

Pengurangan juga disebabkan penurunan permohonan Bantuan Melanjutkan Pelajaran ke IPT-Fisabilillah ekoran berkurang pengambilan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam tempoh berkenaan.

Tengku Mohamad Rizam berkata, walaupun keadaan ekonomi masih getir, Maik mengorak langkah proaktif bagi menjayakan perancangan yang disusun rapi.

Tambahnya, ia bertujuan memastikan hasil terimaan zakat terus konsisten dan pada masa yang sama turut mengoptimumkan perbelanjaan zakat supaya sampai kepada sasaran. – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -