Langgar SOP antara punca kes Covid-19 meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan menjadi antara punca utama peningkatan kes Covid-19 di beberapa negeri, selain jangkitan sudah berada dalam komuniti, aktiviti ziarah, merentas negeri dan jangkitan dalam kalangan pekerja kilang.

- Advertisement -

Di KEDAH, trend jangkitan Covid-19 masih belum menunjukkan penurunan kerana jangkitan wabak berkenaan sudah berada dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata peningkatan kes kini dikesan di luar kluster, melalui saringan bergejala dan saringan kendiri yang dilakukan di rumah.

“Boleh dikatakan kira-kira 60 hingga 70 kes adalah daripada saringan kontak rapat dan kebanyakan kes baharu adalah pada kategori satu dan dua. Kes jangkitan di tempat kerja seperti kilang juga sudah berkurangan, jadi yang banyak sekarang adalah kes dalam masyarakat,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata secara umumnya, semua daerah di negeri itu menunjukkan trend meningkat kecuali di daerah Kuala Muda dan Yan. 

Mengenai vaksinasi Covid-19 di Kedah, Dr Mohd Hayati berkata proses berjalan lancar dengan penambahan pusat pemberian vaksin (PPV), namun penerimaan bekalan vaksin tidak seperti yang dijadualkan dan kerajaan negeri sangat berharap jumlah 220,000 dos seminggu dapat diterima sepenuhnya secepat mungkin.

Di SARAWAK, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata kebanyakan punca penularan wabak Covid-19 di negeri itu boleh dikaitkan dengan aktiviti berkumpulan secara sosial dan perjumpaan keluarga serta kegagalan mematuhi SOP di tempat kerja dan institusi.

Bermula 16 Ogos lepas, Sarawak mencatatkan kes harian melebihi paras 1,000 kes kecuali pada 17 Ogos (835 kes), dengan kemuncaknya pada Jumaat lepas apabila kes harian mencecah paras tertinggi iaitu 2,548 kes baharu yang lebih tertumpu di bahagian Kuching dan Samarahan.

Susulan peningkatan kes Covid-19 itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengambil keputusan mengetatkan SOP selama seminggu di Zon Selatan yang meliputi daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu bermula 22 hingga 29 Ogos.

Bagaimanapun, kadar vaksinasi di negeri itu berada pada tahap terbaik apabila setakat semalam, sejumlah 1,837,462 individu sudah menerima dos pertama manakala seramai 1,744,895 atau 62 peratus daripada populasi keseluruhan penduduk Sarawak sudah menerima dos kedua.

Di KELANTAN, tidak mematuhi SOP ditetapkan selain masih berlaku aktiviti ziarah antara punca menyebabkan peningkatan mendadak kes harian Covid-19 di negeri itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata perkara tersebut sekali gus menyumbang kepada bacaan kadar kebolehjangkitan (Rt) negeri itu yang merekodkan bacaan lebih 1.0 selain kes harian kini turut mencatatkan empat angka.

“Setakat ini, sebanyak 200 kluster di negeri ini yang masih aktif dengan kebanyakan kluster berkenaan membabitkan kluster komuniti, ia tentu sekali disebabkan tidak mematuhi SOP ataupun aktiviti ziarah.

“Kita harap rakyat negeri Kelantan melihat keperluan untuk mematuhi SOP dengan sempurna walaupun beberapa kebebasan telah diberikan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin. Ia bukan ‘tiket’ untuk mereka mengabaikan SOP yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni, Kota Bharu hari ini.

Dr Zaini berkata sebagai langkah siap siaga terhadap peningkatan kes harian Covid-19 di Kelantan, inisiatif telah diambil untuk menambahkan katil di seluruh PKRC di negeri itu dan juga hospital.

Di PULAU PINANG, peningkatan kes positif Covid-19 disebabkan kes jangkitan dalam kalangan pekerja kilang di negeri itu iaitu kira-kira 70 peratus daripada jumlah pesakit yang dijangkiti wabak tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata perkara itu diburukkan lagi dengan keadaan pekerja kilang yang dijangkiti Covid-19 dan tinggal di asrama atau rumah sewa bersama rakan-rakan mereka dalam jumlah yang ramai sehingga menjangkiti yang lain.

“Macam ada satu kes (membabitkan pekerja kilang) baru-baru ini, pada mulanya hanya dua orang sahaja positif Covid-19 dan selepas tiga hari pemeriksaan mendapati 47 orang yang tinggal di asrama sama turut didapati positif,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Dr Norlela berkata kerajaan negeri telah mencadangkan agar sebuah PKRC swasta dibuka untuk menempatkan bilangan pesakit Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang terutama membabitkan kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri itu.

Beliau berkata sehingga semalam, 78.4 peratus atau 1,071,985 orang di Pulau Pinang telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala 47.1 peratus atau 643,909 telah menerima dos kedua vaksin dan dijangka menjelang hujung bulan ini lebih 50 peratus penduduk dewasa akan menerima vaksin.

Di JOHOR, ramai pekerja industri yang bergerak merentasi negeri ke lokasi zon merah bagi mendapatkan vaksinasi dan kehadiran varian membimbangkan (VOC) antara penyebab penularan Covid-19 yang pantas dalam kalangan warga industri di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor R. Vidyananthan memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad lepas, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengenal pasti bahawa pekerja industri yang merentasi negeri ke lokasi zon merah sejak Jun tahun ini, membawa pulang virus itu, sekali gus menularkan jangkitan kepada rakan sekerja dan serumah termasuk yang tinggal di asrama pekerja.

“Sehingga 22 Ogos, sebanyak 142 kluster industri dilaporkan masih aktif di negeri ini, manakala setakat 19 Ogos terdapat 16 kes VOC melibatkan varian Delta dilaporkan iaitu 11 kes di Tangkak, dua di Segamat, masing-masing satu di Muar, Batu Pahat dan Pontian,” katanya ketika persidangan DUN.

Menurutnya susulan itu, kerajaan negeri akan sentiasa memantau situasi kluster melibatkan industri melalui pemerkasaan inisiatif yang digariskan JKNJ termasuk Inisiatif Johor Industrial Preparedness Plan (JIPP) dan Inisiatif Safe@Work selain menyegerakan pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Mengenai vaksinasi, Vidyananthan berkata Johor mempunyai 241 PPV beroperasi di seluruh negeri buat masa ini dan berdasarkan maklumat yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor, ia menunjukkan setakat semalam, sebanyak 1.884 juta dos pertama telah diberikan dan sejumlah 1.052 juta orang telah lengkap dua dos vaksinasi.

Bagi memudah cara pengurusan pesakit positif Covid-19 dan pencarian kontak rapat di negeri itu, JKNJ memperkenalkan sistem digitalisasi Pusat Penilaian Covid-19 Secara Maya (VCAC), sekali gus dapat mengurangkan keberadaan individu dan kesesakan di 11 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi di seluruh Johor.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, sebanyak 20,837 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas dengan Selangor masih mencatat jumlah kes harian paling tinggi iaitu 4,645 kes, diikuti Sabah (3,376), Pulau Pinang (2,054), Kedah (1,772), Johor (1,743), Sarawak (1,543), Kelantan (1,422), Kuala Lumpur (1,284) dan Perak (1,242). – BERNAMA

- Advertisement -