Dia

- Advertisement -

DIA ini ialah Ketua Pemuda PAS  Pusat. Dia seorang profesional dalam bidang kejuruteraan sehingga keperingkat Ir. Setakat ini, dia tiada sebarang isu kontroversi. Dia juga bersikap profesional dalam politik. Dia hanya bersuara apabila perlu. Dia tidak mencampuri urusan siapa yang sepatutnya menjadi menteri, siapa yang sepatutnya dibuang.

Dia tidak benarkan aku memanggilnya YB Senator jika bukan dalam urusan rasmi. Jawatan Senator itu diterimanya atas kapasiti menjadi Ketua Pemuda. Bukan dia melobi di FB atau mana-mana media untuk menjadi menteri, atau dengan cara tersirat kononnya mahu membantu rakyat, sambil meminta jawatan. Dalam PAS, peminta jawatan, tiada tempatnya. Dan jika terlepas juga, tidak akan lama insyaAllah.

Dia tidak ada asas pendidikan Islam secara formal, tetapi ditarbiyahkan pimpinan Pemuda PAS yang terdahulu untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup. Pemaksaan dari pimpinan kepada bakal pemimpin adalah sesuatu yang perlu supaya istiqamah dalam berjuang apabila diangkat menjadi pemimpin nanti. Jika tahan dipaksa, silalah duduk dan sabar, jika tidak, boleh pergi. Terkadang dia dilihat lebih baik daripada orang yang belajar agama yang duduk dalam parti lain. Terutama dalam sikap walaknya kepada ketua.

Pernah dia ditawarkan kerja di Timur Tengah dengan gaji hampir enam angka. Dia kemudian memberitahu salah seorang pimpinan berkenaan tawaran itu dan berminat untuk pergi. Lalu dia dinasihati pimpinan itu kerana jika tinggal di sana, maka perjuangan di bumi Malaysia akan dia tinggalkan. Dia patuh, dia taat, dia menolak tawaran itu. Ini yang aku dengar sendiri dari mulutnya sewaktu kempen PRK Kuala Besut dahulu.

Benar, Ketua Pemuda perlu garang, sentiasa terkehadapan apabila ada sesuatu hal yang penting. Tetapi tidak bermakna pergi ke depan dengan tidak tahu adab, tidak tahu hukum dan tidak tahu malu. Kena sesuaikan. Sebab semua ketiga-tiga rangkuman ini adalah ajaran agama Islam. Bagi PAS inilah perkara terpenting dalam parti jika mahu menjadi pemimpin. Patuh kepada ajaran Islam. Menjadi kuat kerana amalannya yang dekat dengan Allah itu, bukan hebat kerana kepura-puraan di hadapan orang ramai. Lebih baik diam daripada…..

Ketua Pemuda parti lain, aku tak tahu. Aku cakap berkenaan PAS sahaja, apa yang aku tahu. Tulisan ini hanya pandangan aku.

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -
- Advertisement -