Anda selamat tetapi selamatkah yang lain?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mungkin sebagai “insentif” susulan perkembangan memberangsangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), satu demi satu kelonggaran diberikan kerajaan kepada penduduk di tujuh negeri yang berada di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kebelakangan ini.

Terbaharu, “kebebasan tambahan” kepada penduduk yang telah lengkap divaksinasi, antaranya kebenaran makan di premis makanan atau dine-in, melakukan aktiviti sukan yang tidak babitkan sentuhan fizikal, beriadah serta berkelah atau berkhemah.

- Advertisement -

“Ini boleh dianggap macam ‘hadiah’ selepas lebih tiga bulan berada di bawah Fasa 1 yang terikat dengan pelbagai sekatan,” kata rakan penulis Nura Khadeeja Farhan, 30, yang menetap di Ampang, Selangor.

Selain Selangor, enam negeri lagi yang berada di bawah Fasa 1 PPN ialah Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah, Johor dan Melaka.

Pengumuman kerajaan itu juga barangkali dapat mengubat sedikit kelesuan pandemik yang dialami masyarakat akibat “terkurung” di rumah selama ini.

Namun di sebalik berita gembira itu, pakar kesihatan meluahkan kebimbangan, khususnya melibatkan golongan yang telah lengkap divaksinasi berikutan lebih 45 peratus penduduk dewasa masih belum lengkap vaksinasi atau langsung tidak menerima vaksin.

Ini tidak termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas yang baru sahaja diberi kebenaran untuk divaksinasi.

Jadi penyebab penularan baharu

Menurut pakar, golongan yang telah divaksinasi berpotensi menjadi punca penyebaran virus COVID-19 sekiranya mereka melihat “kebebasan” yang diberikan kerajaan adalah tiket untuk mereka alpa dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menyifatkan kita kini tersasar daripada matlamat sebenar PICK, pakar virologi Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata vaksinasi yang bertujuan menyelamatkan nyawa berpotensi dilihat menjadi lesen untuk memperoleh keistimewaan tertentu.

 “Ingin saya tegaskan, mereka yang telah lengkap dos vaksinasi masih boleh dijangkiti sekiranya mengabaikan SOP dan kemudiannya menjangkiti orang lain.

 “Kita tidak mahu mereka yang telah lengkap vaksinasi menjadi punca kepada penularan COVID-19, dan jika ini berlaku, akan ada tanggapan negatif kepada usaha pemvaksinan kerana program sepatutnya menyumbang kepada pencegahan penularan, bukannya punca penularan,” katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini berulang kali dilaporkan berkata mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti, cuma jangkitan yang dialami tidak teruk malah ada yang langsung tidak bergejala. Malangnya, mereka boleh menjangkiti orang lain.

Anda selamat, bagaimana yang lain?

Tambah membimbangkan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata varian Delta yang kini mengganas di negara ini, bukan sahaja boleh tersebar dalam tempoh lima hingga 15 saat tetapi juga boleh replikat (replicate) di dalam hidung mereka yang telah divaksinasi.

“Virus yang membiak (replikat) itu sama kadar jangkitannya terhadap orang yang tidak divaksinasi, yang bermaksud orang yang sudah divaksinasi dapat menyebarkan virus itu dan menjangkiti orang lain,” kata Dr Noor Hisham menerusi Facebook beliau.

Selain itu, isu kealpaan ahli masyarakat dalam mematuhi SOP dengan sebahagian besar dikaitkan akibat kelesuan pandemik dan sebahagian lagi pula berasakan diri kebal selepas lengkap vaksinasi, telah berulang kali dibangkitkan oleh pakar dan juga pihak berkuasa.

Sikap itu akhirnya mengakibatkan mereka dijangkiti walaupun telah divaksinasi atau turut dikenali sebagai breakthrough infection.

Mengulas lanjut, Dr Yahya berkata varian Delta menghasilkan kuantiti virus (viral load) hingga 1,260 kali lebih tinggi berbanding varian asal Wuhan, yang bermakna risiko mendapat jangkitan yang teruk meningkat berkali ganda.

Jelas beliau, risiko untuk varian asal COVID-19 Wuhan mencetuskan jangkitan yang teruk kepada individu tanpa vaksin ialah sekitar 16 peratus, namun potensi mereka yang dijangkiti varian Delta dan tidak divaksinasi untuk merosot ke kategori 3, 4 atau 5 meningkat dua hingga tiga kali ganda, sekali gus meningkatkan risiko maut.

“Berdasarkan laporan dalam kalangan petugas kesihatan untuk breakthrough infection, didapati lebih 99 peratus yang dijangkiti tidak bergejala atau hanya bergejala ringan. Ini menunjukkan vaksin berkesan tetapi hanya kepada individu yang telah divaksinasi, bukan kepada yang belum. Jadi, adakah kita sanggup ambil risiko?

“Kita (lengkap vaksin) pergi ke sana, ke sini dan mungkin tidak sedar dijangkiti kerana tidak ada gejala, akhirnya menjangkiti ahli keluarga yang belum divaksinasi. Ini bukan soal ‘saya selamat’ tetapi adalah soal adakah mereka yang lain turut selamat?,” kata Dr Yahya.

Kebimbangan mutasi

Menurut beliau, keganasan varian Delta berbanding  varian yang membimbangkan (VOC) lain seperti Alpha dan Beta tidak boleh dipandang ringan kerana ancaman Delta telah mendominasi lebih 100 negara termasuk Malaysia.

Bahaya varian Delta bukan sahaja pada kepantasan penularan tetapi juga jangkitannya mengakibatkan lebih banyak kerosakan pada paru-paru berikutan sifatnya yang mempunyai viral load yang tinggi, jelas Dr Yahya.

“Mengikut data hingga 17 Ogos 2021, kita merekodkan 710 kes VOI (varian yang perlu diperhatikan) dan VOC, dan daripada jumlah itu, 467 adalah kes varian Delta (VOC).

“Saya percaya jumlah ini lebih rendah daripada jumlah sebenar kerana kadar jangkitan varian Delta adalah lima hingga lapan orang berbanding varian asal Wuhan pada kadar 2.4 hingga 2.6 orang, dan kadar survelan genom (penjujukan genom) adalah rendah iaitu sekitar 0.17 per 1,000 kes positif,” katanya.

Dr Yahya juga berkata penularan dalam kalangan yang telah divaksinasi turut membawa kebimbangan lain, iaitu peningkatan kadar mutasi sekali gus memungkinkan kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya.

“Mutasi virus berlaku secara semula jadi dan di luar kawalan dan ia berlaku semasa proses replikasi untuk menghasilkan virus baharu. Proses replikasi ini berlaku selepas jangkitan terjadi.

“Apa yang kita bimbangkan ialah apabila virus bermutasi yang memungkinkan kemunculan varian baharu dan kita sebolehnya tidak mahu munculnya varian baharu akibat daripada banyaknya jangkitan di Malaysia,” kata beliau.

Bagi menangani kebimbangan itu, Dr Yahya berkata pemvaksinan perlu dipercepat kerana vaksin bersifat serampang dua mata – melindungi seseorang daripada jangkitan yang teruk serta menghalang pembentukan varian baharu.

“Antibodi yang terhasil daripada vaksinasi akan dapat menghalang jangkitan virus dari satu sel kepada satu sel yang lain. Kurang jangkitan, kurang proses replikasi, maka kuranglah kemungkinan muncul varian baharu, sekali gus tidak timbul isu terkurang sedikit keberkesanan vaksin sedia ada pada masa depan.

“Disebabkan itu kita perlu memastikan seramai mungkin mendapat vaksin. Malah, ada negara yang mengubah sasaran liputan vaksin mereka dalam memerangi varian Delta daripada 80 peratus liputan populasi kepada 90 peratus atau 95 peratus.

“Ini kerana, lebih ramai yang divaksinasi, lebih kuranglah kemungkinan wujud varian baharu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -