KOTA BHARU: Setiap ahli parlimen disaran membantu kerajaan melaksanakan program outreach vaksinasi di kawasan masing-masing bagi mempercepatkan mencapai imuniti kelompok.
Bagaimanapun ia memerlukan kos agak besar iaitu bagi 10,000 vaksin kosnya RM360,000 untuk satu dos. Dan kalau dua dos bermakna kosnya RM720,000.
Adun Kok Lanas Dato’ Md Alwi Che Ahmad berkata, peruntukan tersebut belum lagi mengambil kira kos petugas, makan minum, tempat vaksinasi, kerusi, meja dan sebagainya.
“Ia memerlukan kos tambahan seperti di Ketereh lebih kurang RM36 satu kepala perlu disediakan.
“Sekiranya semua ahli parlimen dapat menganjurkan program tersebut ia dapat membantu kerajaan mempercepatkan imuniti kelompok,” katanya pada sesi perbahasan ucapan menjunjung kasih pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.
Md Alwi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, kira-kira RM720,000 diperlukan bagi memastikan kelengkapan pusat pemberian vaksin (PPV).
Katanya, ahli parlimen mempunyai kelayakan membuat permohonan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk mendapatkan bekalan vaksin secukupnya.
“Pemberian vaksin itu percuma, namun disebabkan kita guna khidmat doktor swasta, maka kerajaan membayar RM14 bagi satu suntikan,” ujarnya.
Menurutnya juga ahli parlimen menerima peruntukan agak besar daripada kerajaan pusat dan kemungkinan peruntukan terbabit akan ditambah lagi di bawah kepimpinan baru.
Oleh itu beliau mencadangkan ahli parlimen menggunakan peruntukan kerajaan pusat untuk melaksanakan program outreach vaksinasi kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Langkah itu bagi membantu kerajaan melaksana dan mempercepatkan lagi program vaksinasi di kawasan parlimen masing-masing dengan dana yang diberikan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2021