Ekonomi jalanan, ekonomi merdeka

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

SEKIRANYA kita menyusuri ekosistem ekonomi jalanan – ‘penjajaran’ peniaga kecil yang berniaga di tepi jalan, warung dan pasar malam – kita akan menyedari kepayahan yang dihadapi segmen ini, serta potensi besar yang tersingkap di sebaliknya.

- Advertisement -

Sepanjang tempoh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), segmen ekonomi jalanan sangat terdedah kepada kehilangan punca pendapatan, kerugian perniagaan, kesempitan hutang dan aliran tunai, di samping paling terdedah kepada jangkitan varian yang tidak kelihatan.

Ini kerana sifatnya yang sangat rapuh, bergantung kepada modal yang sedikit, hasil jualan yang rendah dan harga kos yang tidak menentu, di samping sangat bergantung kepada faktor cuaca dan penguatkuasaan yang mengizinkan.

Namun jika diurus dengan baik, ‘kluster’ ekonomi jalanan boleh menghasilkan impak yang sangat positif kepada ekonomi tempatan.

Selain menyediakan peluang pekerjaan kepada B40 dan pekerja yang diberhentikan, ekonomi jalanan juga adalah ‘inkubator’ kepada pengusaha kecil untuk mempelajari selok-belok dunia perniagaan, di samping jalan terbaik kepada golongan miskin, termasuklah asnaf zakat, untuk meningkatkan taraf hidup melalui bantuan modal dan bimbingan keusahawanan yang berterusan.

Malah ekonomi jalanan bukan sekadar memberikan manfaat kepada pengusaha mikro yang terlibat, tetapi turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan tunai, serta kitaran perbekalan di pihak pemborong dan peruncit tempatan.

Justeru potensi besar ekonomi jalanan perlu diberikan perhatian dalam fasa pemulihan ekonomi, melibatkan peranan pihak PBT, agensi kerajaan dan lembaga zakat secara lebih tersusun, khususnya dalam aspek penyediaan tapak, bantuan kewangan, bimbingan perniagaan, dan pengawalan yang bersifat memperkasakan.

Dengan sinergi perancangan, bimbingan dan bantuan kewangan, ‘penjajaran’ segmen ekonomi yang dinamik ini mampu menghasilkan impak sosio-ekonomi yang sangat positif terhadap usaha meningkatkan perbelanjaan, peluang pekerjaan dan daya usahawan, seterusnya menjayakan langkah pemulihan ekonomi secara lebih inklusif.

Berdiri, dan berniaga di atas kaki sendiri, itulah ekonomi jalanan, ekonomi merdeka.

#MenangBersama

SYAHIR SULAIMAN
24 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 24/8/2021

- Advertisement -