MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Perubahan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, bukan masa untuk merebut jawatan dalam kerajaan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dato’ Mohd Alwi Che Ahmad berkata, tumpuan kerajaan sekarang berbeza daripada keadaan situasi biasa melalui proses pilihan raya.
“Tak payah berebut hendak pegang jawatan itu dan ini, sebab ini bukan ghanimah perang pun, yang kita hendak sekarang ialah masa depan negara dalam tempoh enam, tujuh atau setahun lagi.
“Sekarang pembentukan kabinet untuk memacu negara dan keluar daripada pandemik. Saya yakin dengan kebijaksanaan perdana menteri dan rakan-rakan bagi memacu pentadbiran negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas menasihatkan 114 ahli parlimen yang menyokong pelantikan perdana menteri baharu agar berlapang dada supaya proses pentadbiran berjalan lancar.
Bagaimanapun katanya Ahli Parlimen Bera itu mempunyai tanggungjawab yang besar bagi membangunkan masa depan negara pasca pandemik.
“Mengenai barisan kabinet, saya yakin perdana menteri berbincang dengan rakan kompenan parti yang menubuhkan kerajaan sekarang, biar kita semua berlapang dada,” katanya.
Malah kata beliau lagi perdana menteri turut menekankan pembinaan sebuah keluarga besar yang merentasi fahaman politik, agama dan bangsa bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Saya amat berharap semua pembangkang, masa inilah nak tunjuk kepada rakyat dan Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua parti politik melupakan perbezaan dan menyertai kerajaan dalam menangani masalah negara.
“Ini seruan terbaik yang dibuat oleh perdana menteri yang disebut mengenai kita harus membina keluarga besar, saya ingat dua perkara ini sangat penting untuk dihayati,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2021