KUALA LUMPUR: Politik negara dilihat kembali tenang selepas Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-sembilan di Istana Negara Sabtu lalu.
Ia dilihat selaras dengan beberapa perkara sebagaimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi menghadap
Ia dilihat selaras dengan beberapa perkara sebagaimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi menghadap yang turut disertai Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama.
Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Zaini Othman berkata, antara perkara yang dititah Ägong untuk diterjemahkan kepada tindakan konkrit bermatlamat agar politik negara kembali tenang ialah sesiapa sahaja yang dilantik menerajui Kerajaan Persekutuan sebagai Perdana Menteri hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Agong menitipkan ingatan awal apabila sudah dilantik Perdana Menteri kelak, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.
“”Secara beralas, Seri Paduka Baginda bertitah agar semua parti-parti politik khususnya ahli-ahli Dewan Rakyat menyedari dan menginsafi bahawa apa sahaja keputusan siapa yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelak, pihak yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua,” ujarnya.
Ketika dilantik sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri yang telah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat seramai 114 orang telah diusik warganet yang beliau kini sudah ‘naik pangkat’ menjadi ketua keluarga.
“Apabila sudah jadi ketua keluarga, maknanya makin bertambah besar dan beratlah tanggunggawab yang akan terpikul di bahu, ada masalah yang sudah boleh diduga, ada yang datang bertimpa-timpa. Tapi kata orang bila sudah jadi orang nombor satu di Putrajaya, semua ini kena hadap dan tempuh dengan kebijaksanaan tersendiri.
“Kini apabila rakyat sudah mengetahui pihak mana yang menang dan pihak mana yang kalah, persoalan mereka mampukah kedua-dua pihak berkerjasama untuk menjaga dan membela kepentingan rakyat dalam tempoh kritikal ancaman pandemik Covid-19 ini?” ujarnya.
Menurut Mohd Zaini, semua pihak mengakui kemelut dan kekusutan politik yang berlaku sebelum ini telah memberi impak negatif yang besar kepada ekonomi negara, menggoyahkan keyakinan pelabur, mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan dan mencetuskan suasana tidak harmoni kepada rakyat.
“Pandemik ini merupakan satu musibah dan ujian yang sewajarnya menginsafkan semua pihak khususnya para pemimpin kerana merekalah yang menggalas amanah untuk mentadbir dan menguruskan negara.
“Justeru, di sebalik sembang di laman maya yang begitu rancak meneka-neka dan mencadangkan siapakah yang patut dilantik oleh Perdana Menteri untuk mengisi barisan Menteri Kabinet baharu, rakyat tidak sesekali alpa untuk terus memerhatikan gelagat Yang Berhormat selepas ini,” jelasnya.
Tambahnya, rakyat akan menilai kesungguhan dan kebulatan tekad ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengetepikan agenda politik dan kepentingan diri masing-masing untuk bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
Sehubungan itu, Ismail Sabri dalam perutusan pertamanya sebagai Perdana Menteri pada Ahad lalu mengajak semua pihak bersama-sama atas nama ‘Keluarga Malaysia’ mengembalikan semula kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dirasai suatu masa lalu sebelum pandemik Covid-19 melanda. – HARAKAHDAILY 23/8/2021