Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ mampu wujud keharmonian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ yang diketengahkan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob wajar diangkat dengan berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, ia terbukti mampu mewujudkan keharmonian dalam negara.

“Saya yakin dan percaya, jika setiap pihak dalam ‘Keluarga Malaysia’ meletakkan fokus yang sama untuk kesejahteraan tanah air tercinta, maka tiada perbezaan yang dapat menggugat keharmonian kita bersama,” katanya pada kenyataan petang ini.

- Advertisement -

Semalam pada Ucapan Khas Perdana menggalakkan usaha sepakat membantu masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum melalui konsep Keluarga Malaysia.

Menurutnya konsep berkenaan diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum,” katanya.

Kamaruzaman juga berharap kabinet baharu yang akan ditubuh mampu untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya juga kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang makin membuahkan hasil sebagai bukti semua pihak berperanan dalam membantu negara mencapai sasaran imuniti kelompok dengan segera.

“Sehingga kini lebih 55 peratus populasi dewasa telah selesai divaksinasi,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau inisiatif kerajaan menerusi usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta diharap dapat membantu rakyat yang bergelut dengan masalah ekonomi. – HARAKAHDAILY 23/8/2021