Pendekatan Keluarga Malaysia dapat satukan negara

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Pendekatan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kesembilan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, bertepatan dengan usaha perpaduan yang sedang dilaksanakan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, berkata ini sejajar dengan pandangan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa pendekatan itu bertujuan menyatukan semua pihak dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi sekarang.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri kerana ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, petang semalam menjelaskan hala tuju kerajaan baharu ini.

“Begitu juga usaha Perdana Menteri untuk menambah baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermatlamat supaya negara dapat segera beralih ke fasa pemulihan,” katanya.

Che Abdullah juga menyambut baik keputusan Perdana Menteri untuk meneruskan usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, katanya kerjasama rentas parti menerusi tawaran kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, wajar disambut bagi memastikan kestabilan politik dapat dicapai.

Beliau juga berharap impian rakyat negara ini dapat direalisasikan dan rakyat Keluarga Malaysia dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -