Langkah segera kerajaan bantu rakyat terjejas Covid

Sultan Muhammad V
- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah segera kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi membantu rakyat yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19 memberi manfaat kepada rakyat.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM33.52 juta tahun lepas dan RM18.77 juta pada 2021 bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Titah baginda ia adalah tindakan yang tepat seperti sumbangan pakej rangsangan ekonomi, bantuan keperluan asas setiap Dewan Undangan Negeri (Dun).

- Advertisement -

Selain itu inisiatif tunai penjaja dan peniaga kecil, bantuan usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif lagi.

“Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara kita masih berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan.

“Sejak bermula pada penghujung 2019, sehingga kini lebih 1 juta kes telah disahkan positif dan jumlah kematian juga tinggi dan bertambah setiap hari.

“Beta mengambil kesempatan ini, mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-14, 2021 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Teks ucapan baginda dibaca Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Sultan Muhammad V juga bertitah pemberian suntikan vaksin merupakan kaedah yang tepat pada masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada Covid-19.

“Beta dukacita terhadap mereka yang menyebarkan berita-berita negatif yang bergejala di media sosial dan platformnya yang boleh membantut usaha-usaha kerajaan bagi mengawal penularan Covid-19.

“Hentikanlah gerakan yang boleh mendatangkan banyak konflik, yang boleh menambahkan kesulitan dan kesusahan kehidupan.

“Apa juga polemik dan konflik yang tercetus akan menjejaskan penumpuan kepada penyelesaian masalah pandemik dan perkembangan ekonomi, sosial, keagamaan dan lain-lain dalam masyarakat,” titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat tingkatkan tahap kesabaran, terus istiqamah menghadapi ujian berganda sekarang dan terus mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -