Kes Covid-19 di Iran naik mendadak

- Advertisement -

TEHRAN: Iran yang menamatkan sekatan enam hari Sabtu lalu, mengalami kejutan apabila 680 maut akibat Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kematian keseluruhan seramai 102,038 orang.

Semalam, iaitu hari pertama selepas sekatan ditamatkan mencatatkan 36,419 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes negara itu sebanyak 4,677,114 kes.

Iran melaksanakan sekatan minggu lalu, melibatkan penutupan bangunan kerajaan, bank dan kedai yang tidak penting. Kereta persendirian pula dilarang merentasi wilayah di seluruh negara sehingga 27 Ogos ini.

- Advertisement -

Negara yang mempunyai 83 juta penduduk itu mengelak sekatan penuh dan sebaliknya mengambil langkah demi langkah seperti larangan perjalanan sementara dan penutupan perniagaan bagi membendung penularan wabak itu.

Sejak akhir Jun lalu, Iran berdepan gelombang kelima jangkitan yang terburuk di negara itu, sebahagian besarnya akibat varian Delta yang lebih pantas menular.

Iran melancarkan program vaksinasi pada Februari lalu, tetapi bermula dengan perlahan, iaitu sekitar 16.7 juta orang mendapat dos vaksin pertama. Jumlah yang lengkap menerima dua dos pula hanya 5.8 juta orang.

Sementara itu di Singapura, dua warga emas, masing-masing seorang wanita berusia 91 tahun dan lelaki 87 tahun maut akibat komplikasi Covid-19.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan semalam, memberitahu wanita berusia 91 tahun itu yang meninggal dunia pada 21 Ogos, mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik seperti buah pinggang, jantung dan hipertensi.

Kes wanita berkenaan dilaporkan pada 3 Ogos dan dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan selepas diuji positif virus corona.

Lelaki berusia 87 tahun pula sudah menerima dos pertama vaksin meninggal dunia, semalam. Dia mermpunyai sejarah penyakit barah, diabetes, dan hipertensi. 

Mangsa dilaporkan dijangkiti pada 4 Ogos dan dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan. Dia kemudian diuji dan didapati positif virus corona.

Sehingga semalam, 49 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di Singapura dengan 29 kes adalah jangkitan tempatan. Kes baharu yang dilaporkan semalam pula adalah 35 kes,

Bilangan pesakit yang masih dirawat di hospital pula adalah 346 orang dengan tujuh daripada mereka dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Setakat Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan bahawa 78 peratus penduduk telah menerima vaksin lengkap dua dos, manakala 82 peratus menerima sekurang-kurang satu dos vaksin. – AFP/CNA

- Advertisement -