Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Prihatin dengan kejadian banjir yang berlaku di Daerah Yan, Kedah mendorong anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs) bagi menyertai Misi Bantuan Bencana Alam di negeri itu.
Misi bantuan selama tiga hari itu bermula dari 22 Ogos sehingga 24 Ogos 2021 melibatkan seramai 17 pegawai dan anggota JAMNPs.
Menurut Pengarahnya, Amirul Jufri Mat Saman, JAMNPs sentiasa bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat bencana alam.
Tambahnya, JAMNPs juga sentiasa mengikuti situasi semasa yang berlaku di Gunung Jerai, Yan, yang dilanda banjir lumpur susulan fenomena kepala air.
“Turut sama dalam misi kami pada kali ini ialah Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.
“Dengan kekuatan seramai 17 orang pegawai dan anggota, JAMNPs bersedia untuk menawarkan khidmat kami untuk membantu kerja-kerja memulihkan semula keadaan di sana.
“Kami juga menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya dapat sama-sama berdoa semoga segala-galanya berunsur pulih dengan segera,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kejadian banjir kilat pada Rabu, 18 Ogos lalu dikatakan berpunca dari fenomena kepala air yang berlaku di puncak Gunung Jerai akibat dari hujan lebat berterusan di kawasan tersebut lalu menyebabkan air mengalir laju turun ke kaki gunung berkenaan.
Setakat semalam, lima mangsa disahkan menjadi korban dengan seorang lagi masih hilang dalam kejadian banjir kilat tersebut yang turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda. – HARAKAHDAILY 23/8/2021