Gunakan pendekatan tangkas bantu rakyat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti) mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan pendekatan tangkas untuk membantu rakyat menghadapi kesan pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan.

- Advertisement -

Presiden Masti, Raja Shah Erman Raja Ariffin, berkata pendekatan itu memerlukan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, mendapatkan data yang lengkap dan saling berkait dari pelbagai aspek seperti kesihatan, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Katanya, data yang tepat dan boleh dipercayai boleh diperolehi melalui maklum balas secara langsung daripada rakyat yang menghadapi masalah akibat wabak itu.

Raja Shah Erman

“Masti juga mencadangkan kerajaan mengoptimumkan jentera kerajaan untuk mengumpulkan maklumat dan mengguna aplikasi teknologi terkini bagi mempercepatkan pencapaian data kerana ia adalah modal utama dalam membuat perancangan dan membuat strategi terbaik.

“Selepas strategi dimuktamadkan, termasuk risiko-risiko telah diketahui, ia perlu dilaksanakan segera secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Raja Shah Erman yang juga Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Potensi) Universiti Malaysia Perlis berkata, setiap strategi yang diperkenalkan boleh dibuat secara fleksibel mengikut kesesuaian keadaan semasa.

Beliau berkata, strategi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini adalah baik, tetapi boleh dikaji semula selepas kerajaan baharu mendapat maklumat terkini kesan pelaksanaannya.

Katanya, strategi tangkas juga menyentuh aspek kerjasama dalam satu pasukan yang memerlukan koordinasi yang baik di kalangan jentera pelaksana.

Selain itu, katanya tidak perlu terlalu banyak jawatankuasa atau majlis ditubuhkan dan lebih baik mewujudkan jawatankuasa pusat yang menyelaraskan pelaksanaan sesuatu strategi di peringkat agensi dan negeri. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -