Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri untuk mewujudkan rasa persaudaraan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum sebagai sebuah keluarga menggunakan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’.
Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, pendekatan itu dilihat untuk mengenepikan perbezaan yang ada, dalam masa sama menumpukan perhatian kepada nilai persamaan yang boleh disokong demi memastikan segala usaha dan polisi kerajaan dapat dipikul bersama-sama.
“Penumpuan mestilah diberikan untuk memulihkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan peluang ekonomi yang lebih stabil.
“Kemaslahatan rakyat mestilah menjadi keutamaan dalam sebarang dasar dan program yang akan dirancang di bawah semua peringkat pentadbiran.
“Justeru bagi merealisasikan usaha membina hubungan baik kerajaan dan pemimpin pembangkang, Perdana Menteri juga menawarkan keanggotaan dari parti pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Menangani Covid -19.
“Tindakan ini haruslah dipuji kerana ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membina satu pasukan yang kuat dalam memastikan pemulihan negara berjalan lancar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, beliau mewakili DMPM berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan negara.
DMPM juga menuntut supaya semua pihak mengelakkan daripada berlaknya sebarang gangguan yang boleh menganggu gugat pentadbiran negara.
Ini kerana ia dilihat hanya akan mengakibatkan kemusnahan yang merugikan semua pihak, ujar Ustazah Nuridah.
Pada Ahad, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dalam mendepani cabaran yang dihadapi seluruh negara ketika ini.
Menurutnya, pendekatan itu diambil oleh kerana sifatnya yang lebih inklusif dari aspek merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.
“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.
“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat
dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” kata Ismail. – HARAKAHDAILY 23/8/2021