Khazimah dan Yunus dapat rumah di Beserah

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: ADUN Beserah, Andansura Rabu telah menyempurnakan menyerahkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada dua penduduk di Cherating dan Sungai Ular, di sini baru-baru ini. 

Mereka ialah Khazimah @ Huzairah Hitam dari Sungai Ular dan Yunus Seman dari Cherating yang menerima penyerahan kunci bagi kediaman tersebut daripada peruntukan Kerajaan Negeri Pahang.

- Advertisement -

“Alhamdulillah DUN Beserah telah siap dua unit untuk fasa pertama dan penyerahan telah dilakukan dan fasa ke dua akan diberikan pada bulan September tahun ini, menjadikan empat buah rumah pada tahun ini,” ujar Andansura. 

Beliau memaklumkan RRP merupakan program rumah rakyat untuk warga B40 terpilih yang memenuhi syarat kelayakan seperti pendapatan keluarga, taraf kerakyatan, keadaan rumah asal dan status pemilikan tanah. 

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang memberitahu, setiap DUN dalam negeri Pahang di peruntukan sebanyak dua rumah RRP dalam setahun. 

“Alhamdulillah, pada tahun ini YAB Menteri Besar Pahang telah menambah peruntukan RRP dengan setiap DUN menerima dua buah lagi kuota tambahan yang sedang dalam peringkat pertimbangan dan kelulusan. 

“Antara perkara utama program ini adalah untuk menunjukkan rasa keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada golongan yang memerlukan tempat berlindung. 

“Ada di antara mereka yang memiliki tanah, memiliki tapak sendiri, tetapi tiada keupayaan dan kemampuan untuk membina rumah, dikategorikan dalam orang yang susah, maka kita beri peluang kepada mereka,” tambahnya lagi. 

Beliau seterusnya mengharapkan agar pemohon yang telah berdaftar untuk mendapatkan bantuan ini, dapat bersabar kerana ianya terhad pada setiap tahun.

Manakala mereka yang berhasrat untuk memohon, boleh berbuat demikian dengan mengemukakan maklumat dan akan disenaraikan dalam senarai simpanan untuk projek tersebut di masa akan datang. 

Simbolik penyerahan kunci tersebut telah dihadiri oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuantan, Tuan Azlan Che Adnan dan wakil-wakil pegawai dari Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang. 

Juga dari Pejabat Pertanian Daerah Kuantan dan Penghulu Mukim Mukim Sungai Karang, Faizul Rahimi serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Ular dan Cherating. 

Sementara itu penerima RRP, Khazimah dan Yunus, masing-masing merasa gembira dan bersyukur kerana dapat memiliki rumah tersebut kerana rumah yang mereka diami sebelum ini telah sangat uzur.

Mereka juga sangat berterima kasih dan memuji sikap prihatin Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan ADUN serta mereka yang terlibat dalam melaksanakan program ini. – HARAKAHDAILY 22/8/2021

- Advertisement -