Kabinet baru perlu utama kelayakan, integriti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Usrah Kebajikan Profesional Malaysia (UKP) mendesak agar prinsip kedaulatan undang-undang berasaskan Perlembagaan Negara dan kedaulatan undang-undang (rule of law) dihormati dan dipertahankan tanpa kompromi.

Presidennya Dr Mohd Huzairi Husain berkata, NGO itu juga berharap pembentukan kabinet akan mengutamakan mereka yang benar-benar berkelayakan serta berintegriti.

Kata beliau pihaknya juga merayu agar pemimpin politik kerajaan dan pembangkang segera menumpukan segenap tenaga, masa dan fikiran untuk membantu usaha kerajaan demi kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

“Justeru, UKP Malaysia ingin mencadangkan agar pihak kerajaan menubuhkan Majlis Musyawarah Rakyat (MESRA) yang dianggotai wakil-wakil NGO, pemimpin mahasiswa, tokoh agama bebas, wakil masjid, wakil seniman dan artis, Majlis Dakwah Negara, Dewan Perniagaan pelbagai peringkat.

“Selain itu, persatuan pendidikan, persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya yang dapat menyampaikan segala hasrat, pandangan dan keresahan ahli mereka terus kepada pihak kerajaan dengan berkesan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurutnya juga UKP Malaysia berharap agar suhu politik dapat diredakan dengan kesatuan hati dan kesabaran semua pihak untuk meletakkan kepentingan watan serta negara melebihi kepentingan yang lain.

Kata beliau apabila tiba masanya mandat akan diserah semula kepada rakyat untuk menentukan pilihan mereka secara telus dan harmoni.

“Merafak sembah dan menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong dan seluruh Raja-raja Melayu atas kebijaksanaan menangani krisis politik dan keputusan berhikmah yang diambil bagi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia,” katanya.

UKP Malaysia turut merakam penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Md Yassin dan anggota kabinetnya yang telah memberi perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan cemerlang dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang amat mencabar.

UKP Malaysia juga mengambil kesempatan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua usaha yang telah dilakukan kerajaan terdahulu yang menguntungkan rakyat dan berharap agar ia diteruskan oleh perdana menteri baru dengan penambahbaikan yang perlu demi kebaikan rakyat dan kesejahteraan negara.

“UKP Malaysia menyokong sepenuhnya pelantikan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 dan meletakkan harapan untuk melihat kesungguhan kerajaan mengatasi semua krisis yang melanda negara terutamanya pandemik Covid 19, program vaksin dan bantuan kepada rakyat yang terkesan serta menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Keadaan semasa cabaran pandemik Covid-19 semakin menekan kehidupan rakyat sehingga ke tahap kemurungan dan kehilangan nyawa insan tercinta, manakala seluruh frontliners dan pegawai kesihatan di hospital yang sedang berjuang semakin keletihan,” katanya.

Dr Mohd Huzairi juga berkata, UKP Malaysia menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik bersatu hati dan meletakkan kepentingan negara lebih utama, serta mengenepikan kepentingan peribadi.

Menurutnya juga UKP Malaysia dianggotai ahli akademik, profesional, agamawan, pentadbir di pelbagai peringkat yang merupakan graduan Universiti Malaya bersedia memberikan sumbangan dan kerjasama yang bersesuaian bagi mendukung dan memperkasakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.

“UKP Malaysia mendoakan Dato’ Sri Ismail Sabri dan seluruh anggota kabinet yang bakal dibentuk akan sentiasa dikurniakan oleh Allah SWT bimbingan, ilham dan iltizam yang padu dalam menjalankan amanah besar ini dengan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/8/2021

- Advertisement -