Girl I’m gonna miss you

- Advertisement -

HARI ini aku rasa nak tulis berkenaan muzik. Kita tahu, ramai orang yang minat dengan muzik. Ada yang bersungguh mengasah bakat untuk jadi penyanyi atau ahli muzik. Ada yang berjaya, dan akan pasti ada yang gagal. Ada yang hanya menikmati muzik walaupun berbakat, ia sekadar suka-suka sahaja. Namun, ramai juga yang jenis perasan yang dia sedap menyanyi, tetapi itik pun menutup telinga dengan kepaknya bila mendengar dia menyanyi.

Kalau anda dari kalangan peminat muzik R&B sekitar tahun 90-an, anda mesti masih ingat satu kumpulan yang sangat terkenal waktu itu Milli Vanilli. Mereka antara kumpulan duet yang berjaya pada zaman itu. Mereka terdiri daripada dua orang berkulit hitam Fab Morvan dan Rob Pilatus, berasal dari Munich, Jerman.

- Advertisement -

Pada masa kegemilangannya itu, mereka berjaya menjual jutaan album lagu-lagu mereka. Lagu-lagunya menjadi siulan peminat-peminat mereka. Mereka dipuja seluruh dunia, menerima jemputan konsert-konsert dari merata tempat yang pastinya akan menjana wang lagi selain jualan album mereka itu.

Kemuncak kepada karier mereka ialah, mereka mendapat pengiktirafan Grammy Award pada tahun 1990 dalam kategori Artis Baharu. Mencapai kemenangan di Grammy Award, pastinya akan menaikkan lagi harga mereka. Bermakna akan semakin banyak wang yang akan masuk.

Tetapi itulah saat terakhir kejayaan terbesar mereka. Mereka kemudiannya ‘kantoi’ kerana didapati menipu dalam persembahan mereka. Persembahan ‘lip sync’ mereka dikesan kerana nyanyian iringan terlekat banyak kali pada lirik yang sama, menzahirkan mereka hanya membuat persembahan ‘miming’

Pun begitu, selepas insiden itu, mereka masih mendapat pengiktirafan lain. Begitulah kalau sudah taasub. Peminat tegar mereka tetap akan mempertahankan bahawa ia adalah kerosakan teknikal. Mereka bukan penipu. Ini semua fitnah (macam pernah dengar ayat ini). Pada perenggan ini, aku hanya terbayangkan peristiwa itu berlaku pada zaman media sosial ini. Apa agaknya yang akan berlaku kepada peminat mereka?

Selepas itu, satu persatu dilondehkan pembohongan mereka sebelum ini. Sehinggalah yang paling teruk, cerita yang datang dari penerbit mereka sendiri yang mendakwa, mereka berdua tidak menyanyikan satu lagupun dalam rakaman mereka di studio.

Akhirnya trofi Grammy Award, dikembalikan mereka semula. Sudahlah mendapat malu, pengiktirafan ditarik, mereka pula dikecam sebagai penipu. Karier mereka hampir menunjukkan jalan mati. Tetapi mereka tidak berputus asa, mereka mencuba untuk kembali mencari semula kedudukan mereka dalam industri muzik.

Namun, album mereka yang mempersembahkan suara mereka sendiri, hanya laku dalam beberapa ribu sahaja. Dan kegagalan mereka dimuktamadkan dengan Fab ditangkap atas kesalahan jenayah dan ditemui mati kerana pengambilan dadah yang berlebihan. Begitulah kisah golongan yang menipu. Kisah mereka dikenang sebagai antara skandal terbesar dalam industri muzik.

Dalam semua bidang, kita akan mendapati ramainya sejenis Milli Vanilli ini dalam mengambil kesempatan. Mereka lupa yang mereka mungkin boleh memperdayakan beberapa kumpulan orang yang berlainan pada satu atau beberapa waktu yang berbeza. Tetapi tidak akan dapat membohongi semua manusia pada setiap masa. 

Apa yang membuatkan aku menulis mengenai Milli Vanilli ini ialah aku teringat kepada satu lirik lagunya dalam Girl I’m Gonna Miss You iaitu…

“It’s a tragedy for me to see the dream is over”

Faham? Begini, dalam politik Malaysia ini, ada juga yang sejenis dengan Milli Vanilli ini. Ada pakatan yang melakukannya. Penyanyi di depan pentas lain, penyanyi di belakang pentas ada juga. Nampak Melayu yang akan jadi Perdana Menteri, tapi di belakang, kita tahu siapa penyanyi sebenar dia. Akhirnya langsung tidak dapat menjadi Perdana Menteri.

Dan lirik itu, sungguh kena dengan situasi terkini. Oh lupa satu lagi lagu dia yang top ialah Baby don’t forget my numberMmm… ada juga politik dekat pengakhirannya.

MOHD NASIR ABDULLAH
22 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 22/8/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -