Covid-19: Thailand hadapi gelombang ketiga

- Advertisement -

BANGKOK: Thailand, negara pertama di luar China yang mencatat kes Covid-19, kini berdepan gelombang ketiga sejak April lalu yang menyebabkan jumlah rakyat negara itu yang dijangkiti virus kini melebihi satu juta orang.

Pada peringkat awal ketika virus itu mula dikesan pada Januari tahun lalu, Thailand mencatatkan jumlah kes yang agak rendah, dengan hanya lebih 4,000 kes dan 60 kematian.

Bagaimanapun, kes meningkat mendadak apabila gelombang kedua berlaku selepas Disember tahun lalu dan gelombang ketiga sejak April lalu, terutama dengan kemunculan varian Delta yang menyebabkan penularan menjadi lebih pantas.

- Advertisement -

Dalam tempoh 24 jam setakat semalam, Thailand mencatatkan 19,851 kes baharu dan 240 kematian, menjadikan jangkitan meningkat kepada 1,009,710 kes termasuk 8,826 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan, berkata kes baharu itu termasuk 325 banduan.

“Sebanyak 10 kes import dilaporkan, termasuk dua warga tempatan yang kembali dari Malaysia. Kes kematian baharu membabitkan 12 lelaki dan 111 wanita berusia antara tujuh bulan hingga 93 tahun, termasuk lima warga Myanmar dan seorang rakyat China.

“Data menunjukkan sejak 25 Julai hingga 19 Ogos tahun ini, sejumlah 4,656 kematian dilaporkan dengan 63.8 peratus mangsa tidak divaksinasi,” katanya.

Bagi meningkatkan usaha vaksinasi, Thailand membeli tambahan 10 juta lagi dos vaksin Pfizer-BioNTech.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul, semalam menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Opas Karnkawinpong dan Eksekutif Pfizer Thailand dan Indochina, Deborah Seifert.

Thailand turut membeli tambahan 12 juta dos vaksin Sinovac untuk tujuan ‘mix-and-match’ atau pemberian dos jenama berlainan.

Sementara itu setakat semalam, sebanyak 20,004 kes baharu dilaporkan di Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan kes melibatkan 3.9 juta orang, manakala kematian seramai 1,348 menjadikan 123,981 orang terkorban akibat wabak Covid-19.

Seramai 26,122 orang pula dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah pesakit yang pulih dari penyakit ini seramai 3.5 juta orang.

Setakat ini, sekurang-kurang 30.8 juta penduduk Indonesia menerima dua dos vaksin, manakala 56.5 juta orang menerima satu dos vaksin. Indonesia menetapkan sasaran untuk memberi vaksin kepada 208.2 juta penduduk.

Di Brunei, kawalan pergerakan bagi memerangi pandemik Covid-19 dilanjutkan dua minggu lagi, ketika negara itu melaporkan 122 kes baharu semalam, menjadikan angka keseluruhan 1,455 kes.

Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, keputusan itu mengambil kira keadaan semasa penularan virus itu sehingga kawalan pergerakan perlu dilanjutkan hingga 4 September ini.

Beliau berkata, kes baharu meliputi 120 jangkitan tempatan dan dua kes import.

“Walaupun punca jangkitan 79 kes tempatan masih dalam siasatan, 37 kes berkenaan adalah berkaitan dengan lima kluster aktif yang sudah dikenal pasti, manakala empat kes tempatan lain berkaitan dengan satu kluster baharu yang disahkan semalam,” katanya.

Ia sekali gus menandakan hari ketiga berturut-turut dengan kes baharu harian melebihi 100 kes sejak Khamis lalu, iaitu masing-masing mencatatkan 190 kes dan 197 kes.

Semua kes baharu dalam kluster aktif membabitkan individu sedang dikuarantin dan mempunyai kaitan dengan beberapa kes yang disahkan.

Sementara itu, terdapat 1,096 kes aktif dirawat dan dipantau di Pusat Pengasingan Nasional, dengan tiga daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan manakala 22 pesakit lain dalam pemantauan rapi.

Sebelum pengesanan tujuh kes Covid-19 penularan tempatan pada 7 Ogos lalu, Brunei mencatatkan rekod 457 hari tanpa jangkitan komuniti. – BERNAMA/AGENSI

- Advertisement -