Pandangan sisi: Mengapa kita taatkan pimpinan

- Advertisement -

APABILA saya gembira dengan pelantikan PM-9, bukanlah bermakna saya gembira kerana wakil BN atau Umno telah kembali mengambil tampuk kuasa. Juga sewaktu PM-8 dilantik oleh Tuanku YDPA tahun lalu, saya turut merasa gembira, tidaklah kerana TS Muhyiddin atau BERSATU yang mendapatnya.

Rasa suka, gembira dan menang itu adalah kerana kehendak atau percaturan pimpinan PAS menepati strategi yang dirancang lama dan secara kolektif. Saya tidak boleh melihat kepada Umno atau BN, malah kepada PR dahulu pun sebagai kumpulan yang akan memberikan kebaikan 100 peratus terhadap kebaikan Islam, walaupun berharap ia terjadi. Dan tambahan kini juga, PAS hanyalah parti sederhana dalam PN dan MN.

- Advertisement -

Menerima keputusan pimpinan adalah antara salah satu tugas terpenting ahli bawahan. Kita tidak mampu melihat apa yang mereka lihat. Mereka melihat keputusan secara berjamaah, memerhati sisi baik dan buruk yang mesti dipilih bagi kebaikan arah tuju parti dan ahli secara keseluruhannya. Mereka dipilih dari kalangan yang kita percayai terbaik. Dan kalau tidak suka atau terbukti ada masalah, mereka boleh ditukar setiap kali pemilihan.

Berbagai kecaman yang terpaksa hadapi oleh pimpinan, atas apa yang mereka putuskan, walaupun terbukti benar keputusan pimpinan. Ia datang dari musuh dan juga segelintir yang mengaku ahli atau penyokong PAS. Mereka merasakan mereka lebih pandai dan bijak daripada pimpinan. Dan kritikan-kritikan ini, tidak pernah berhenti. Sedangkan pimpinan bukan sahaja berbincang dengan AJK, tetapi terkadang juga dengan pimpinan gerakan Islam dunia. Semuanya berasaskan dan bagi kebaikan agama.

Sejarah adalah sesuatu yang bukan hanya mahu dilihat puing-puing tinggalan sahaja, tetapi lebih utama daripada itu ialah ibrah dari kejadian. Sudah banyak sejarah yang dapat kita lihat bagaimana keputusan pimpinan menepati keadaan politik ketika itu. Tidak kurang juga ada yang terpakai hingga ke masa depan juga. Mereka dihina dan dikutuk oleh musuh ketika membuat keputusan itu kerana musuh mengalami kerugian, PAS tidak mengikut kehendak dan keuntungan mereka. PAS bukan Pak Turut. Namun sayang, ada orang PAS yang turut terpengaruh.

Sedangkan, ahli parti musuh itu langsung tidak membantah sebarang keputusan pimpinan mereka semenjak dahulu walaupun sudah banyak kali mereka gagal mendapat untung atau dikalahkan lawannya. Kerja ahli mereka tidak ditangguh atau merajuk atau berkelahi sesama sendiri disebabkan perkara-perkara kecil. Mereka benar-benar bersabar menanti kejayaan.

Hal pimpinan, mereka tidak campuri. Lebih walak daripada ahli PAS. Musuh menjilat sehingga licin kahak pimpinan mereka tanpa ragu-ragu kerana mereka percaya kepada pimpinan akan melakukan yang terbaik. Manakala ahli dan penyokong PAS pula, ada yang bertindak mengada-ngada bagaikan mereka adalah pimpinan dalam menentukan hala tuju jamaah.

Suka saya menyebut sedikit berkenaan sejarah, apabila isu UG dilontarkan kepada umum dahulu, Presiden PAS dikeji dan diperbodohkan oleh musuh. Ia memberi kesan dan menggugat banyak minda pendukung gerakan Islam sehingga berpecah. Begitu juga bantahan beliau kepada konsep Islam Hadhari yang beliau nyatakan sebenarnya ialah Hadharah Islamiyyah. Ke mana Islam Hadhari sekarang? Dan apa yang musuh mahu buat dengan cadangan UG itu sekarang? Mereka mahu gunakannya pula sekarang bahan buangan mereka itu dahulu.

Memuji pimpinan PAS, bukan bermakna mereka langsung tidak melakukan kesilapan. Hanya sahaja mereka lebih banyak membuat keputusan yang betul bagi kebaikan Islam. Begitulah sebaliknya kepada musuh, mereka ada juga benarnya, tetapi sangat jauh dan sedikit untuk kebaikan Islam. Ini lah-hal terbesar yang membezakan antara perjuangan PAS dengan kumpulan lain. Dan yang menguntungkan bagi ulamak, jika mereka salah ijtihad sekalipun mengikut ilmu yang betul, akan dapat satu pahala.

Ruang yang ada untuk Islam, walaupun kecil, akan cuba PAS masuki, apatah lagi dengan ruang yang besar yang mana semua telah lihat kejayaan PAS. Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua. Kaedah Islam yang dipakai oleh PAS. Pun begitu masalah dengan ahli atau penyokong yang tidak memahami kaedah ini, sedikit mencacatkan perjalanan jamaah. 

Mereka mahu semua benda yang dilakukan PAS kena ditunjukkan dan dilaporkan kepada mereka, tanpa faham strategi, mana yang mesti dizahirkan, mana yang perlu dilakukan di belakang. Tetapi itu lah kehidupan berjamaah, akan ada yang faham dan akan ada yang tidak faham atau buat-buat tidak faham. 

Saya memilih taat kepada pimpinan dengan sepenuh hati bagi kebaikan Islam. Saya bukan ahli dalam strategi jadi, saya menyokong dan menyerahkan kepada mereka yang ahli bagi keuntungan Islam. Semoga ada kebaikan dalam tulisan ini, insya-Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
21 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 21/8/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -