Kerajaan baharu mesti kelihatan bersih

Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik Perdana Menteri ke-9 setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah.

Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat MPM, Prof Dato’ Seri Dr Awang Sariyan berkata, pelantikan itu perlu disedari sebagai tanggungjawab atau taklif kepada negara, bukan kuasa dan keistimewaan.

Beliau berharap kerajaan baharu yang ditubuhkan hendaklah bermula dengan usaha berhemat dalam perbelanjaan negara, terutama dalam keadaan ekonomi dilanda krisis besar sebagai akibat wabak Covid-19.

- Advertisement -

Katanya antara langkah berhemat termasuk mengehadkan jumlah kementerian yang ditubuhkan atau menyatukan mana-mana bidang yang berkaitan dalam sebuah kementerian sahaja.

Menurut beliau nisbah menteri yang dilantik hendaklah seimbang antara pemimpin politik dengan golongan profesional untuk menjamin kecekapan dan keberkesanan kepemimpinan negara.

Beliau mencadangkan supaya keutamaan perbelanjaan negara hendaklah ditumpukan kepada usaha mengatasi wabak Covid-19 dan kesannya dalam bidang kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Inisiatif dan pelan pemulihan yang telah dirancang oleh kerajaan dahulu perlu dilaksanakan dengan mengurangkan kerenah birokrasi.

“Dan tidak terjejas oleh ketirisan, salah guna kuasa dan ketidakadilan kerana faktor seperti kelainan fahaman politik,” katanya di sini.

Beliau berkata kerajaan baharu bukan sahaja mesti bersih, tetapi mesti kelihatan bersih daripada salah guna kuasa, rasuah, ekonomi hitam, diskriminasi berasaskan faham politik, kaum dan faktor lain.

Katanya bersempena dengan sambutan kemerdekaan tahun ini, penubuhan kerajaan baharu dalam bulan kemerdekaan hendaklah mengisytiharkan kemerdekaan negara daripada rasuah, salah guna kuasa, nepotisme dan favoritisme.

“Mana-mana individu yang terlibat dengan kerja-kerja fasad yang disebut itu tidak boleh sekali-kali diberi ruang dalam kepemimpinan negara, negeri dan institusi yang ada kepentingan negara.

“Demikian juga halnya dengan sesiapa yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah,” tegasnya.

Tambah beliau untuk memastikan agar dasar-dasar utama negara terus utuh, Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan pancang-pancang kenegaraan wajib dipelihara dan dipertahankan.

“Antara pancang kenegaraan yang utama termasuklah kedudukan Raja-Raja, agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain,” katanya.

Kerajaan baharu juga tambah beliau hendaklah benar-benar memastikan pemisahan tiga juzuk penting negara, iaitu penggubal undang-undang, eksekutif dan kehakiman.

Katanya ini kerana salah satu punca tidak berkesannya pelaksanaan dasar dan undang-undang negara ialah pertelingkahan dan campur tangan antara ketiga-tiga entiti yang sepatutnya saling melengkapi dan memperkukuh perjalanan pentadbiran negara. – HARAKAHDAILY 21/8/2021