Kepimpinan baharu perlu teruskan usaha tangani pandemik Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini diharap dapat membentuk barisan kepimpinan yang akan meneruskan serta mempertingkatkan lagi usaha negara dalam memerangi pandemik Covid-19.

Prof Datuk Dr Nasruddin Mohammed dari Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata keutamaan ketika ini perlu diberikan kepada usaha dan langkah secara kolektif untuk mengawal ancaman Covid-19 daripada terus memberikan keadaan yang buruk kepada rakyat.

- Advertisement -

Beliau berkata kerajaan baharu itu perlu mempertimbangkan peranan mereka dengan cara yang lebih agresif selain memerlukan pendekatan yang khusus bagi menghadapi ancaman pandemik yang melanda negara ketika ini.

“…kerajaan baharu ini mungkin boleh mengusulkan penyertaan secara kolektif seperti penyatuan parti politik dengan cara kerjasama dan hubungan strategik yang digunakan sepenuhnya untuk membantu kerajaan dan negara keluar daripada ancaman Covid-19.

“Antara lain, pendekatan yang sesuai mungkin dengan penglibatan memperkasakan badan bukan kerajaan dari sudut sokongan dan juga galakan, contohnya penglibatan badan kebajikan dan sukarelawan dalam memberikan sokongan yang diperlukan untuk membantu barisan kepimpinan baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Penganalisis politik Prof Dr Muhammad Fuad Othman berkata dengan pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri baharu, semua polisi dan jentera kerajaan sebelum ini, khususnya dalam memerangi Covid-19, boleh diteruskan bagi memastikan semua usaha membuahkan hasil yang diinginkan.

Profesor Kolej Undang-undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata usaha untuk mewujudkan imuniti berkelompok diharap akan dipacu lebih pantas supaya masyarakat dan negara boleh membina semula kehidupan secepat mungkin.

“Pemberian vaksin khususnya di negeri luar Lembah Klang harapnya akan diperhebatkan kerana ia akan membantu mewujudkan nilai ambang 70 peratus untuk seluruh negara dan mengawal jangkitan tahap tiga dan ke atas dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata penggemblengan pelbagai pihak dan pelaksanaan strategi yang bersepadu akan banyak membantu kerana negara mempunyai pasukan kerja yang mantap dan profesional serta prasarana kemudahan awam dan swasta yang boleh dimanfaatkan semaksimum mungkin.

Ismail Sabri, yang merupakan naib presiden Umno, dilantik sebagai perdana menteri kesembilan setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen.

Ismail Sabri, 61, yang sebelum ini merupakan timbalan perdana menteri dilantik ke jawatan itu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. – BERNAMA

- Advertisement -