Kemelut politik: Apa rahsia Tuan Guru dilihat tenang

- Advertisement -

Oleh MUSTAMAN MUSTAIN

KETIKA
hampir seluruh pemain politik di Malaysia heboh dengan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Isnin lalu dan berteka-teki tentang bakal Perdana Menteri ke-9, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah individu yang paling tenang, tidak gelabah dan tidak terburu-buru.

“Seolah-olah tidak apa yang berlaku, Tok Guru nampak tenang saja,” begitulah makluman yang dikhabarkan apabila kami anak muda bertanya tentang respons Tuan Guru Abdul Hadi berkenaan situasi politik semasa.

Kenapa Tuan Guru Abdul Hadi dilihat begitu tenang? Apa rahsia di sebaliknya?

- Advertisement -

Jawapannya tidak lain kerana benih kepada agenda perpaduan ummah yang digagaskan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sudah membuahkan hasilnya.

Tuan Guru Abdul Hadi percaya, pokok perpaduan ummah yang telah ditanam sejak 2015 lagi (bahkan lebih awal daripada itu) telah membuahkan sedikit hasil apabila tiga parti teras Melayu Islam (Bersatu-PAS-Umno) dapat mengambil kata sepakat mementingkan maslahah rakyat terbanyak walaupun pelbagai ujian datang melintang.

Terlalu banyak ucapan dan tulisan Tuan Guru Abdul Hadi yang mengajak kepada penyatuan ummah melibatkan Melayu-Islam yang menjadi teras negara ini tanpa membelakangkan agama dan kaum lain yang tidak ekstrem termasuk melibatkan etnik berbilang kaum di Sabah dan Sarawak.

Bahkan Tuan Guru Abdul Hadi juga telah menumpahkan idea perpaduan ummah ke dalam sebuah buku bertajuk ‘Bicara Ini Demi Perpaduan’, agar semua lapisan masyarakat khususnya ahli politik lebih menjiwai serta mengaplikasikan gagasan yang mempunyai visi yang jauh ini.

“Sejarah Islam meninggalkan kesan kepada lahirnya lebih tiga ratus juta rumpun Melayu sehingga kini. Namun telah dipecahkan oleh penjajah menjadi beberapa negara, termasuk Malaysia, sehingga berpecah lagi dalam satu negara dan bangsa sendiri. Kini kita ingin mencipta sejarah baru untuk generasi yang akan datang, dengan kembali semula kepada penyatuan umat dan bangsa, mengikut acuan petunjuk Allah bagi mencapai kejayaan itu.” – Himpunan Penyatuan Ummah, 14 Sept 2019

“PAS, Umno dan Bersatu yang merupakan tiga parti teras Melayu-Islam dan bumiputera perlu disatukan. Ia bertujuan bagi memimpin perubahan dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN), disertakan pendekatan masyarakat majmuk dengan penubuhan Perikatan Nasional (PN) bersama prinsip yang anjal (fleksibel) bagi melakukan perubahan yang positif berikutnya. Pada masa yang sama, tidak menghapuskan rupa bangsa dan budaya masing-masing yang berkonsepkan tiada paksaan beragama dan adil kepada semua.” – Minda Presiden PAS, 9 Ogos 2021

Berbalik kepada isu pemilihan calon Perdana Menteri ke-9, atas prinsip perpaduan ummah ini jugalah Perikatan Nasional yang memiliki ahli parlimen terdiri daripada Bersatu-31, PAS-18 dan STAR-1 telah sepakat mencalonkan Dato’ Seri Ismail Sabri daripada Umno sebagai calon tunggal parti ini.

Keputusan sama telah dicapai oleh pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Tidak dapat disangkal lagi, kesepakatan ini atas kekuatan semangat perpaduan ummah yang digagaskan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sehingga pimpinan utama parti yang mendukung Kerajaan Perikatan Nasional memilih kesatuan berbanding perpecahan.

Keputusan ini juga menunjukkan Perikatan Nasional lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

Sementara itu dalam perkembangan lain pimpinan utama PAS dan Umno turut mengadakan pertemuan membincangkan pencalonan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-9 dan ia telah disepakati bersama.

Sehingga akhirnya, Ismail Sabri telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri ke-9 atas semangat muafakat ini.

Perlu difahami, hasrat Tuan Guru Abdul Hadi amat besar iaitu berhajat semua umat Islam bersatu dalam satu muafakat tanpa meninggalkan agama dan kaum lain yang tidak ekstrem termasuk komuniti Sabah dan Sarawak.

Agenda melemahkan umat Islam sedang dilaksanakan di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Justeru, kesatuan, perpaduan dan penyatuan umat Islam amat diperlukan dalam konteks Malaysia.

Jika umat Islam berserpihan kepada fraksi-fraksi kecil, agenda melemahkan umat Islam akan mendapat laluan mudah dan akhirnya musuh akan memijak.

Atas kesedaran itulah, Umno dan PAS diikat melalui Muafakat Nasional sementara Bersatu, PAS, STAR, SAPP dan Gerakan bergabung di bawah payung Perikatan Nasional. Kesatuan ini juga melibatkan GRS di Sabah dan GPS di Sarawak serta MCA dan MIC.

Akhirnya, kesepaduan ini jika digembleng sehabisnya akan membentuk ketumbukan politik yang tidak dapat dikalahkan oleh musuh serta mematikan terus cita-cita pembangkang.

Dalam masa yang sama negara akan dapat dibina mengikut prinsip kemakmuran dan kesejahteraan, neraca keadilan untuk seluruh rakyat tanpa melihat latar belakang. – HARAKAHDAILY 21/8/2021

- Advertisement -