Vaksinasi lebih 50 peratus: Petanda baik capai imuniti kelompok

- Advertisement -

Oleh RUSILAH MD SOM

SEREMBAN: Malaysia adalah antara negara terbaik dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di mana kadar vaksinasinya kini mencapai lebih 50 peratus bagi dos kedua.

Ini merupakan satu indikator penting kejayaan negara untuk merealisasikan imuniti kelompok, kata Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar.

- Advertisement -

Menurutnya, semalam Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM) melaporkan bahawa lebih 50 peratus rakyat Malaysia telah mendapat dos vaksin lengkap dan lebih 75 peratus pula telah mengambil dos pertama vaksin Covid-19.

Justeru itu, beliau percaya banyak negara luar sedang belajar daripada pencapaian Malaysia mengenai kaedah vaksinasi yang dijalankan di dalam negara yang dilihat pantas dan cekap.

“Masih belum terlambat untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kecekapan dan keprihatinan bagi mencapai kadar vaksinasi 80 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia,” ujar Badzli dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapan terakhir sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 menegaskan bahawa pelaksanaan PICK tidak boleh terganggu.

Apatah lagi katanya apabila negara telah merekodkan vaksinasi harian adalah yang tertinggi di dunia dan perlu dikekalkan.

“Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit,” kata Muhyiddin dalam ucapan akhir tersebut.

Mengulas lanjut, Badzli berkata, dengan 87 juta dos yang telah ditempah kerajaan, bermakna jumlah itu adalah melebihi polulasi rakyat Malaysia yang kini berjumlah 32.7 juta orang.

Badzli juga menegaskan bahawa program vaksinasi di negara ini merupakan kaedah terbaik untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Perkara tersebut jelas terbukti apabila kadar kemasukan ke hospital, pesakit yang dijangkiti Covid-19 juga menurun.

Malah tambahnya, didapati 87 peratus yang dijangkiti sekarang adalah yang belum menerima vaksin yang lengkap.

Oleh itu, beliau meletakkan harapan tinggi agar Malaysia akan mencapai imuniti kelompok seawal Oktober serta mengajak semua rakyat berdoa agar ianya berjaya dilaksanakan.

“Kita pasti menang,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -