Sultan, Kerajaan Kelantan penyumbang utama baik pulih bangunan Gaza

Foto-foto daripada Facebook Nadir Al-Nuri.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengucapkan terima kasih kepada Sultan Kelantan dan kerajaan negeri itu yang menjadi penyumbang utama projek membaik pulih bangunan di Gaza.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia turut memberi sumbangan melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di bawah Aid4Palestine.

- Advertisement -

“Inilah projek yang mencuri tumpuan media semalam, sehinggakan ke mana-mana saya pergi penduduk tempatan bersalaman mengucapkan tahniah,” ujarnya dalam satu hantaran melalui laman Facebook beliau, semalam.

Pertama, katanya kerana ia projek baik pulih bangunan pertama di Gaza selepas perang.

Ini, jelas beliau, bermakna Malaysia mendahului seluruh dunia dalam membaik pulih bangunan yang terkesan oleh serangan lalu.

Tambahnya, kedua kerana kosnya yang besar berjumlah 190,000 dollar membuatkan ia mendapat liputan Al-Jazeera Mubasher, stesyen TV Aqsa, Shehab dan lain-lain.

“Di waktu negara-negara lain ragu-ragu dan takut untuk membantu Gaza kerana ancaman dipinggirkan dan sekatan menyalurkan kewangan, kita membuktikan bahawa tidak ada yang dapat berdiri di depan semangat setia kawan antara dua buah negara yang hebat dan berdaulat ini.

“Teruskan menyumbang, teruskan peduli, teruskan bersatu dan jangan berpecah-belah, perjuangan kita masih panjang!” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -