PINTAR hargai kebijaksanaan Agong selesai kemelut politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kebijaksanaan baginda menyelesaikan kemelut politik tanah air terutama berkaitan pelantikan Perdana Menteri baharu.

- Advertisement -

PINTAR turut menzahirkan penghargaan kepada Raja-Raja Melayu yang turut berkenan di atas keputusan yang diambil tersebut.

Presidennya Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Ahli Parlimen Bera Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu dalam tempoh agak singkat.

Katanya, pelantikan Perdana Menteri ke-9 mengambil masa hanya kira-kira 5 hari sahaja setelah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin meletakkan jawatan Isnin lepas.

“Hakikat ia diselesaikan dalam keadaan yang cepat menunjukkan keprihatinan baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk memastikan rakyat dan negara dapat mengharungi tempoh ini dalam keadaan aman dan damai.

“Peranan yang dimainkan baginda merupakan satu perkara yang sangat penting dalam menjunjung prinsip Raja Berpelembagaan dan juga prinsip keluhuran perlembagaan dan undang-undang,” katanya pada satu kenyataan.

Oleh kata kata beliau PINTAR bersyukur kerana proses peralihan berjalan dengan lancar.

Beliau juga berharap Perdana Menteri akan dapat melakukan tindakan melantik ahli-ahli kabinet dengan segera bagi meneruskan usaha-usaha dan perancangan untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

Menurutnya usaha yang dilakukan sebelum ini termasuk program vaksinasi, perlu dipertingkatkan ke setiap negeri bagi memastikan mencapai imuniti kelompok dengan cepat.

“Dengan cara ini kita akan melihat kembali pembukaan sektor ekonomi, sektor sosial serta sektor-sektor lain dapat dilakukan sebaiknya.

“Kami mencadangkan agar ahli-ahli kabinet sebelum ini yang menunjukkan prestasi baik agar dapat dikekalkan, selaras dengan usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan polisi-polisi baik yang digariskan kerajaan pimpinan Muhyiddin,” ujarnya.

Kata beliau juga sudah tentu Perdana Menteri akan memastikan pasukannya dalam kabinet nanti mereka yang berintegriti, tidak terlibat dengan masalah yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

Katanya kesepaduan dan kesatuan pasukan amat diperlukan supaya tidak lagi berpecah-belah atau cuba menarik sokongan dan sebagainya.

“Tindakan sebegini akan melemahkan semula kerajaan dan pasti akan merugikan semua pihak,” tambahnya.

Dr Mohd Roslan juga mengajak seluruh rakyat Malaysia menghormati dan menjunjung kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Marilah sama-sama kita mendukung usaha-usaha baik yang bakal diumumkan kerajaan kelak bagi memastikan kita dapat mengharungi tempoh sukar sekarang.

“Hentikan sementara perseteruan politik sehingga negara betul-betul dapat keluar daripada situasi yang ada melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – HARAKADAILY 20/8/2021

- Advertisement -