Pemuda pertahan kemerdekaan: Tiada istilah istirahat

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH: Salah satu daripada empat ciri penting yang harus ada pada seseorang pemuda yang menjadi aktivis parti Islam dalam mempertahankan kemerdekaan ialah ‘tidak ada istilah istirahat’, demikian dinyatakan Ketua Dewan Kaderisasi Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Wilayah Riau, Indonesia, Ustaz Muhammad Taufiq S Ag.

Namun, menurut Ustaz Taufiq, jika para aktivis lebih banyak berehat dan tidak melakukan tugas-tugas membina jiwa-jiwa manusia di desa-desa, di daerah-daerah dan kota-kota, maka maksiat akan berleluasa.

- Advertisement -

“(Jika) kita biarkan mereka melakukan maksiat dan kebatilan, maka ini akan terjadi seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT, tidak ada lagi kebaikan-kebaikan. Bahawa sebuah bangsa tidak akan berubah kalau kita tidak merubahnya,” ujar beliau.

Beliau yang berada di Riau, Indonesia menyatakan perkara ini di dalam forum Melaka Update anjuran Jabatan Penerangan PAS Melaka bertajuk ‘Kemerdekaan, Peranan Ulamak Di Nusantara’ yang berlangsung secara dalam talian, malam tadi.

Menurut beliau lagi, pemuda yang tidak kenal istirahat seperti ini dikatakan ulama sebagai ‘kal mail munhamir’ iaitu seperti air yang mengalir deras yang mana ia tidak boleh ditahan atau dihalang oleh apa sahaja.

“Yang kedua kalau kita mahu menang, kalau kita mahu jaya Islam ini, kalau kita mahu bangkit kembali kemerdekaan itu kita perlu ‘qillatun naumin’ iaitu kurangi tidur kita.

“Yang dimaksudkan kurangnya tidur itu ialah kurang angan-angan. Jangan banyak angan-angan, ingin kedudukan, jabatan (jawatan), pujian, sanjungan, bukan itu yang kita cari,” ujar beliau.

Menurut Ustaz Taufiq ‘kurangkan tidur’ juga bermaksud pemuda terus bekerja dan melihat mana yang kurang di sana sini agar sentiasa diperbaiki.

Tambah beliau lagi ini sesuai dengan saranan Rasulullah SAW bahawa makna kemerdekaan itu adalah meningkatkan silaturrahim dan memberi makan orang-orang susah terutama pada masa sekarang di saat rakyat sedang susah kerana Covid-19.

“Yang ketiga ialah ‘himmatul aliyah’. Bahawa seseorang pemuda adalah ketika dia bangkit dengan roh kemerdekaan dia punya ‘himmatul aliyah’.

“Semangat yang tinggi, cita-cita yang tinggi. Tidak boleh kandas, tidak boleh merajuk, tidak boleh sedih,” ujar beliau.

Ciri yang keempat menurut beliau ialah tidak malas dan selalu bergegas dan cepat untuk bekerja dan beramal dalam kebaikan, melayani bangsa, rakyat dan umat serta mempertingkatkan silaturrahim .

Tambah Ustaz Taufik anak-anak muda yang dididik pada zaman Rasulullah SAW seperti Saidina Ali R.A sentiasa duduk di depan di medan perang yang berebut-rebut untuk menjadi ‘as-sabiqun’ iaitu orang yang terawal berperang, terawal syahid.

Menurut beliau inilah sebenarnya yang disebutkan tentang kemerdekaan.

Ustaz Taufiq turut mengungkapkan satu kata-kata yang pernah diucapkan oleh Mustafa Al Ghulaini bahawa setiap umat memiliki ajal dan ajal sesuatu umat ialah ketika kehilangan kemerdekaan.

Menurut beliau, bangsa yang hebat pula adalah bangsa yang sentiasa memikirkan tentang kemerdekaannya.

“Kita ini dianggap sebagai satu bangsa yang mati ketika kita sudah tidak punya kemerdekaan akal, kemerdekaan badan kita, kemerdekaan jiwa dan raga. Kerana apa? Kerana seluruh sudah dikuasai dengan bermacam budaya, teknologi, masyarakat, sosial, sudah dikongkong.

“Sehingga kita tidak lagi bebas sebagaimana bebas para sahabat-sahabat Rasulullah yang menaklukkan bangsa-bangsa dan menaklukkan negeri-negeri di bawah panji Lailallahailallah.

“Oleh kerana itu saya berharap pada malam ini kita berbicara tentang kemerdekaan, makna yang sesungguhnya tentang kemerdekaan ialah kembali kepada tauhid, kembali kepada Lailahailallah; kembali kepada ruhiyah,” ujar beliau.

Program yang disiarkan di laman Facebook Melaka Update bermula jam 9.30 malam Khamis lepas ini dikendalikan oleh Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin yang berada di Melaka bertindak sebagai moderator. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -