Faktor kemenangan Taliban ke atas Amerika Syarikat

- Advertisement -

ISNIN lalu, dunia dikejutkan dengan berita kemasukan pejuang Taliban ke bandar Kabul.

Presiden Afghanistan, Asyraf Ghani dipercayai telah melarikan diri ke Tajikistan namun semuanya terjawab apabila destinasi terakhirnya diketahui setelah Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan bahawa Asyraf Ghani berada di UAE setelah dinafikan kemasukkannya ke Tajikistan.

Kebanyakkan daripada negara-negara kuasa besar dunia juga begitu terkejut dengan kemaraan pantas Taliban menawan Afghanistan dengan hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja.

Namun majoriti daripada negara-negara kuasa besar dunia mula menghamburkan kemarahan mereka ke atas Amerika Syarikat kerana tindakannya mengundurkan tentera dalam skala yang begitu cepat sehingga menimbulkan security vacuum atau kelonggaran dari sudut keselamatan menyebabkan begitu mudah Taliban menawan Afghanistan.

- Advertisement -

Kemarahan tersebut lebih memuncak apabila melihat situasi yang berlaku di Kabul ketika Taliban telah mula menawan ibu negara Afghanistan itu apabila banyak negara berada dalam keadaan tertekan dan kelam kabut untuk mengeluarkan rakyat masing-masing khususnya kakitangan kedutaan mereka daripada Kabul.

Malah Amerika Syarikat sendiri nampak seperti berada dalam keadaan cemas apabila mengeluarkan kakitangan kedutaannya melalui bumbung bangunan kedutaan menggunakan helikopter Chinook ketika keadaan genting di bandar Kabul apabila Taliban mula menguasai bandar tersebut.

Media-media utama di Amerika Syarikat mula mengecam Presiden Amerika Syarikat Joe Biden malah membandingkan peristiwa tersebut dengan keadaan yang berlaku pada tahun 1975 apabila tentera Amerika Syarikat mengeluarkan kakitangan kedutaannya melalui bumbung bangunan kedutaan menggunakan helikopter ketika Saigon ditawan sewaktu perang Vietnam.

Akhbar-akhbar dan media di Amerika Syarikat tanpa berselindung mengkritik dan menyerang tindakan Joe Biden dan pentadbirannya terutamanya media berhaluan kanan yang condong kepada parti Republikan seperti New York Post yang menganggap Joe Biden sebagai a joke and embarrasstment kerana tindakannya di Afghanistan.

Ahli-ahli politik Amerika Syarikat baik daripada Demokrat mahupun Republikan mengecam strategi dan tindakan Joe Biden serta pentadbirannya dalam soal pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada Afghanistan sehingga Joe Biden terpaksa melakukan sidang media untuk menjelaskan tindakan pentadbirannya.

Faktor Utama Kekuatan dan Kemenangan Taliban

Berita mengenai Taliban menguasai Afghanistan dalam masa yang singkat mengejutkan seluruh dunia. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana sebuah kumpulan yang tumpas di tangan Amerika Syarikat ketika menjadi Kerajaan Afghanistan 20 tahun yang lalu bangkit kembali dengan begitu kuat sehingga berjaya menawan Afghanistan seterusnya menghalau Amerika Syarikat keluar dari bumi Afghanistan.

Pelbagai teori dan analisa diketengahkan oleh ramai pakar geopolitik dan ketenteraan dunia di samping pengunduran pantas tentera Amerika Syarikat akibat peralihan penumpuan geopolitik dan perluasan pengaruh kekuasaannya.

Itu secara teori dan praktikalnya dari segi analisa geopolitik dan ketenteraan tetapi pada asasnya terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Taliban menjadi semakin kuat dan seterusnya mencetuskan kemenangan yang akhirnya mengembalikan Afghanistan kepada rakyatnya.

  • Istiqamah dan Tidak Putus Asa

Selepas peristiwa 9/11, Presiden Amerika Syarikat ketika itu George W. Bush melancarkan perang menentang keganasan atau ‘War On Terrorism‘ yang kemudiannya membabitkan serangan ke atas Taliban yang menjadi Kerajaan Afghanistan ketika itu kerana membantu Al-Qaeda pimpinan Osama Ben Laden.

Afghanistan diserang dengan begitu dahsyat dan Taliban berjaya ditumpaskan dengan mudah serta dilucutkan daripada kekuasaannya di Afghanistan.

Kemuncaknya ialah apabila Osama Ben Laden terbunuh dalam satu serangan mengejut yang dilakukan oleh sekumpulan tentera elit Amerika Syarikat iaitu US Navy Seal di rumah persembunyiannya di Abbottabad, Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan pada 2 Mei 2011.

Selepas daripada peristiwa itu, hampir langsung tidak kedengaran mengenai Taliban dan aktivitinya di Afghanistan sehinggalah Taliban kembali muncul dalam arus percaturan geopolitik Afghanistan lebih kurang 5 tahun lalu dalam skala yang kecil.

Namun dalam jangka masa beberapa tahun sahaja, Taliban telah bangkit kembali melawan arus sedikit demi sedikit hingga akhirnya berjaya menumpaskan Amerika Syarikat seterusnya memerdekakan bumi Afghanistan daripada cengkaman penjajahan.

Istiqamah dan tidak putus asa adalah gambaran yang jelas apa yang telah dicapai oleh Taliban hari ini. Mungkin kita tidak bersetuju dengan kaedah serta cara Taliban memerdekakan Afghanistan tetapi kecekalan, keazaman dan istiqamah perjuangannya harus dijadikan contoh bagaimana usaha, keyakinan dan keazaman itu membuahkan hasil.

  • Imej, PR dan Media

Sebelum ini boleh dikatakan semua negara di dunia ini menjauhi Taliban kerana ia dikaitkan dengan keganasan, pembunuhan dan kekejaman. Mungkin akibat daripada kekalahan lampau dan pengalaman yang ditempuhinya, Taliban telah belajar daripada kesilapan lalu dan berusaha memperbaiki imejnya di mata dunia.

Antara usaha yang dilakukannya ialah melalui media sosial, menghadiri forum, sidang meja bulat dan mesyuarat bersama pemimpin dan negara-negara utama dunia serta menampilkan dan membawa imej sederhana dalam setiap tindak tanduk, ucapan dan kenyataannya kepada umum.

Ini diakui sendiri oleh banyak pihak seperti Washington Post, The New York Times dan beberapa akhbar utama dunia di mana Taliban dilihat seperti telah menguasai ‘Public Relation‘ dengan begitu baik dan menggunakan sepenuhnya applikasi media sosial seperti Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram dengan begitu cekap sekali walaupun Facebook masih mengenakan sekatan ke atas setiap kandungan berkaitan Taliban.

Washington Post dalam laman teknologinya pada 18 Ogos lalu dengan artikel bertajuk ‘Today’s Taliban uses sophisticated social media practices that rarely violate the rules‘ menggambarkan Taliban menggunakan sepenuhnya laman media sosial terutamanya Tweeter dengan begitu cekap sekali untuk menyampaikan agenda politiknya terutamanya kepada rakyat Afghanistan.

Mungkin semasa kemaraan Taliban di Afghanistan, kita melihat di berita terdapat tentangan di beberapa buah wilayah samada oleh penduduk dan tentera Afghanistan ketika itu tetapi jika dilihat secara keseluruhan, tidak berlaku tentangan secara menyeluruh oleh rakyat Afghanistan kerana mesej-mesej kesederhaan Taliban telah sampai kepada rakyat Afghanistan malah ketika menawan Kabul, terdapat banyak penduduk Kabul yang menyambut kemenangan Taliban.

Imej yang ditonjolkan Taliban ketika ini dilihat amat sederhana oleh banyak pihak di dunia terutamanya ketika sidang media pertamanya beberapa hari lalu. Pengampunan kepada anggota pentabiran kerajaan Afghanistan, hak kebebasan wanita akan dipelihara dan dibenarkan berkerja, membantu rakyat dan pekerja kedutaan asing keluar dari Kabul, pelajar-pelajar perempuan dilihat sudah memulakan sessi persekolahan kembali dan Taliban turut menjemput negara-negara di dunia membantu untuk membangunkan Afghanistan semula telah memberikan imej positif kepada Taliban.

Banyak negara mula memandang positif kepada Taliban walau masih terdapat banyak keraguan ke atas Taliban, adakah ia akan mengotakan janji-janji tersebut namun dengan keadaan semasa sekarang di Afghnaistan dan Kabul, Taliban dilihat telah mula berjaya mengurangkan persepsi negatif terhadapnya.

  • Sokongan Rakyat

Imej buruk Taliban sebelum ini menakutkan dunia terutamanya rakyat Afghanistan. Jika sebelum ini apabila ditanya mengenai Taliban, majoriti rakyat Afghanistan tidak lagi mahu Taliban memerintah Afghanistan kerana takut peristiwa hitam seperti dahulu berulang kembali.

Namun pastinya ramai yang mula bertanya mengapa ketika Taliban mara di seluruh Afghanistan hingga jatuhnya Kabul ke tangan mereka, seperti tidak kelihatan langsung rakyat Afghanistan menentang Taliban dan hanya lari meninggalkan kediaman dan bandar yang di diami mereka kerana takutkan peperangan serta tidak dalam jumlah yang besar sebagaimana dahulu.

Taliban telah mula dipercayai kembali oleh rakyat Afghanistan walaupun masih tidak secara majoriti. Mesej-mesej melalui media sosial, tindakan serta imej sederhana yang ditonjolkan mereka mula diterima oleh rakyat Afghanistan.

Tidak ada anggota kerajaan dibunuh ketika ditawan bandar-bandar di wilayah Afghanistan, rakyat Afghanistan yang tidak menyokong mereka tidak ditangkap dan diseksa serta banyak lagi petunjuk-petunjuk yang positif serta imej sederhana yang ditampilkan mereka membuat ramai rakyat Afghanistan mula kembali menyokong mereka.

Mungkin terdapat lagi rakyat Afghanistan yang skeptikal dan ragu-ragu kepada Taliban namun sudah terdapat petanda positif bahawa Taliban mungkin mampu kembali mendapat sokongan majoriti rakyat Afghanistan jika keadaan berterusan seperti ini.

Mungkin banyak yang kita boleh pelajari dan mengambil iktibar di atas apa yang berlaku di Afghanistan dan Taliban ketika ini. Secara asasnya kita tidak sekali-kali menyokong dan menolak keganasan serta ideologi tidak sihat tetapi pengajaran yang berguna perlu diambil sebagai pedoman di masa hadapan.

Hakikatnya jelas, kemenangan Taliban ke atas Amerika Syarikat membenarkan ungkapan yang menyebut bahawa bumi bertuah ini adalah kubur kepada kuasa besar dunia bermula dengan Britain, Soviet Union dan seterusnya Amerika Syarikat.

Mengikut Abdul Bari Atwan, seorang penganalisa politik Timur Tengah, kekalahan Amerika Syarikat di Afghanistan lebih hina dan teruk dari kekalahannya di Vietnam. Kekalahan Amerika Syarikat di Vietnam adalah kerana campurtangan secara langsung Soviet Union dan adapun kekalahan Amerika Syarikat di Afghanistan hanyalah di tangan sebuah kumpulan kecil yang lemah dari semua aspek lahiriyyah tetapi iman yang ada dalam diri mereka yang berjaya mengalahkan kekuatan lahiriyyah yang dimiliki oleh mana-mana kuasa besar dunia.

Semoga Taliban dan pihak-pihak yang berkepentingan di Afghanistan sama-sama dapat berganding bahu membangunkan kembali Afghanistan, berdamai, berkerjasama seterusnya berjaya membentuk kerajaan baharu demi untuk kepentingan semua pihak terutamanya rakyat Afghanistan.

Peperangan dan pertelingkahan yang berterusan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak terutamanya rakyat Afghanistan. Sampai masanya perang dihentikan dan kembali ke meja rundingan, berdamai dan memikirkan masa depan Afgahnistan dan rakyatnya.

Afghanistan sudah merdeka, sudah sampai masanya Afghanistan bangkit demi untuk masa depan rakyatnya dengan Islam yang sebenar dan hakiki.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -