Yan, Kuala Muda diklasifikasi Kawasan Bencana Tahap 1

- Advertisement -

ALOR SETAR: Daerah Yan dan Kuala Muda kini diklafikasikan sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu berikutan kejadian banjir yang melibatkan kawasan sekitar kaki Gunung Jerai, semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 20.

“Kerajaan negeri akan berusaha dengan sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk yang terjejas,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Berikutan itu semua agensi kerajaan dan badan berkanun  berkaitan pengurusan operasi bencana perlu mengambil langkah segera menangani masalah ini.

Kata Sanusi, beliau mengharapkan musibah ini dapat ditangani dengan baik serta berkesan.

Beliau dalam masa yang sama mengalu-alukan pihak swasta atau badan-badan sukarela yang ingin turut serta membantu manakala latihan penyelarasan akan dikendalikan oleh pihak MKN.

Dalam masa yang sama beliau terus mengingatkan orang ramai agar menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di sekeliling.

“Saya berharap semua yang terlibat sama ada orang ramai, petugas sukarelawan mahupun kerajaan agar menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan baik dan rapi kerana ancaman Covid ini berada  di sekeliling dan persekitaran kita,” pesan beliau.

Justeru itu beliau mewakili kerajaan negeri dan para pegawai tadbir merakamkan rasa dukacita  amat mendalam di atas kejadian itu yang meragut beberapa korban dan menjejaskan kehidupan penduduk kawasan terbabit.

Semalam, beberapa kampung antaranya Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kg. Acheh dan Kampung Setoi dilanda banjir.

Serangan ‘kepala air’ berpunca hujan lebat berterusan di Gunung Jerai menyebabkan air mengalir laju ke kaki gunung dan menyebabkan limpahan air secara mendadak di Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.

Kejadian itu turut melibatkan 300 buah rumah di sekitar Merbok di Taman Lembah Merbok, Kampung Tupah Baru, Kampung Padang Tok Sora, Kampung Tandop Batu, Jilid Satu dan Pengkalan Kakap.

Sehingga ini kejadian yang dikatakan paling terburuk itu telah menyebabkan tiga kemalangan jiwa sementara tiga mangsa belum dijumpai. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -